Siakap Keli
monyet lempar beg ke tebing
Gambar: The Thaiger

Bengang Tak Jumpa Makanan, Monyet Lempar Beg Berisi RM6,000 Ke Tebing

Bengang lapar punya pasal, seekor monyet tekad melempar beg pelancong berisi wang tunai RM6,300 yang dicurinya ke tepi tebing selepas mendapati tiada apa-apa makanan yang boleh dimakan di dalamnya, lapor The Thaiger.

Difahamkan, pada awalnya sepasukan renjer taman di Taman Negara Khao Phra di Pha Mor E-Daeng, Thailand menerima satu panggilan daripada seorang wanita berusia 55 tahun sekitar pukul 3 petang pada Khamis.

Menerusi panggilan itu, wanita tersebut memaklumkan seekor monyet liar telah mengambil begnya dan kemudian menggeledahnya untuk mencari makanan.

Bagaimanapun setelah itu, haiwan tersebut bertindak membuangnya dari tebing taman negara tersebut kerana kecewa selepas tidak menemui sebarang bentuk makanan di dalamnya.

Justeru pelancong itu memohon renjer taman untuk membantunya mendapatkan semula beg tersebut kerana ia mengandungi wang tunai yang banyak, selain aset berharga serta beberapa dokumen penting.

Renjer taman itu menolongnya dengan turun ke bawah tebing untuk mencari beg yang berharga itu, malah turut membuat siaran langsung di Facebook bagi menunjukkan ketelusan dalam mencarinya memandangkan ia mengandungi nilai aset yang tinggi.

Akhirnya, selepas turun ke bawah sejauh lebih 100 meter, beg tersebut berjaya ditemui dan dikembalikan semula kepada pemiliknya. 

Dalam pada itu, renjer tersebut turut terkejut kerana menemui lebih banyak harta benda yang hilang di dasar tebing, yang disyaki telah dicuri dan dilemparkan ke bawah oleh monyet.

Pasukan renjer itu mengumpul semua barang yang dijumpai dan berkata mereka akan berusaha mencari pemilik setiap barangan itu.

Sementara itu Ketua Taman Negara Khao Phra Wihan berkata monyet liar di kawasan itu mempunyai tenaga yang luar biasa, sangat agresif dan sentiasa merampas barangan daripada pelancong untuk mencari makanan.

Renjer taman menasihatkan pelancong supaya sentiasa berwaspada dan mengelak memberi makan kepada monyet supaya keselamatan dapat dijaga.

Sumber: The Thaiger

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.