Beberapa tokong di Daerah Chiayi, Taiwan memiliki kedudukan yang sangat condong sehingga mendapat nama julukan ‘Menara Condong Pisa Versi Taiwan’ .
Mesti anda merasa hairan ketika melihat gambar tokong ini kan? Boleh jadi anda terkeliru sama ada wanita tersebut menggayakan aksi ikonik Micheal Jackson iaitu berdiri dengan sudut 45 darjah ke hadapan atau bangunan dibelakangnya lebih condong jika dibandingkan dengan bangunan lain.
Rata-rata mungkin memilih jawapan yang pertama kan? Jawapannya adalah, bangunan tempat ibadat tersebut yang dikenali sebagai Istana Taihe Zhenxing (振興宮舊址) mengalami kecondongan kira-kira 45 darjah daripada daripada garisan ufuk.
Namun begitu, bangunan-bangunan tokong di daerah tersebut tidaklah condong pada mulanya. Kecondongan bangunan-bangunan tersebut berlaku disebabkan bencana alam yang pernah melanda kawasan tersebut pada 2009.
Ketika itu, Taiwan telah dilanda badai Taufan Morakot, salah satu taufan paling dahsyat yang pernah melanda negara pulau tersebut dalam catatan sejarahnya.
Selain dari meningkatkan kelajuan angin melebihi paras normal, taufan tersebut juga menyebabkan peningkatan pada taburan air hujan yang menyebabkan aliran lumpur yang besar dan banjir yang teruk di Taiwan.
Secara umumnya, bencana taufan tersebut telah mencetuskan kerosakan besar dan kematian ratusan penduduk di Taiwan serta ‘menstruktur semula’ salah satu tarikan pelancong yang unik iaitu sebuah tokong dikenali sebagai Istana Taihe Zhenxing.

Bencana alam punca bangunan tersebut menjadi condong
Sebelum 2009, bangunan-bangunan tokong yang berwarna-warni di Perkampungan Taihe itu masih kekal tegak pada 90 darjah, tetapi beberapa episod tanah runtuh yang berlaku semasa bencana taufan menyebabkan tanah-tanah di kawasan tersebut menggelongsor ke bawah bukit kira-kira 100 meter.
Menjadi satu keajaiban apabila bangunan-bangunan di situ terselamat walaupun mengalami kecondongan yang agak ketara selepas insiden tersebut.

Sungguhpun Istana Taihe Zhenxing sudah tidak lagi berada pada kedudukan asalnya, ia masih mampu menjana pendapatan melalui peningkatan dari segi kedatangan para pelancong ke kawasan tersebut baru-baru ini.
Kadar peningkatan para pelancong ke kawasan tersebut dikatakan berpunca dari kuasa viral yang dimiliki oleh media sosial seperti Instagram dan TikTok.
Ia juga merupakan tempat yang strategik bagi para pengunjung untuk cuba meniru postur ikonik Micheal Jackson, tanpa mengenakan apa-apa trik profesional mahupun kasut khas.

Apa yang anda perlu lakukan adalah mencondongkan gambaran lensa kamera sehingga bangunan tokong tersebut sehingga kelihatan betul-betul tegak dan anda hanya perlu membongkok sedikit ke hadapan sahaja.
Terdahulu, Istana Taihe Zhenxing telah membuat penampilannya di kaca televisyen Taiwan dan digelar ‘Menara Condong Pisa Versi Taiwan’, selepas gambar-gambar dan video bangunan tersebut menjadi tular di media sosial pada awal tahun ini.
BACA: Kajian Terbaru Dapati Menara Condong Pisa Semakin Menegak
Sumber: Oddity Central