Siakap Keli
isteri ditinggalkan di tepi jalan
Kredit: New York Post

Berhenti Nak Buang Air Kecil, Lelaki Tak Sengaja Tinggal Isteri Tepi Jalan

Berhenti Nak Buang Air Kecil, Lelaki Tak Sengaja Tinggal Isteri Tepi Jalan

Siapa sangka Hari Krismas yang sepatutnya disambut dengan gembira dan meriah telah menjadi peristiwa buruk bagi seorang wanita apabila suaminya tidak sengaja meninggalkannya semasa berhenti untuk membuang air kecil di tepi jalan.

Memetik laporan New York Post, mereka memulakan perjalanan seawal jam 3 pagi pada Ahad untuk meluangkan masa untuk sambutan tahun baru di kampung halaman (isteri) di Wilayah Maha Sarakham, Thailand.

Perjalanan mereka pada awalnya lancar tetapi kemudiannya suaminya mengatakan bahawa dia ingin membuang air kecil lantas menghentikan kereta di tepi jalan.

Melihat si suami bertindak sedemikian, isterinya mula bertanya mengapa dia tidak berhenti di stesen minyak, tetapi pertanyaannya tidak mendapat balasan.

Disebabkan itu, si isteri membuat keputusan untuk turun dari kereta dan mula masuk ke dalam hutan berdekatan jalan. Dia juga dipercayai ingin membuang air kecil pada ketika itu.

isteri ditinggalkan di tepi jalan
Kredit: New York Post

Namun, apabila dia menuju semula ke kereta, dia mendapati kereta sudah tiada dan kelibat suaminya juga tidak kelihatan. Si suami telah memulakan perjalanan tanpa mengetahui isterinya tiada dalam kenderaan tersebut.

Dengan jalan yang gelap dan dipengaruhi rasa takut, si isteri memutuskan untuk berjalan kaki ke daerah Kabin Buri sejauh 20 kilometer (km) atau 12.4 batu. Bagaimanapun, perjalanannya dipermudahkan apabila dia selamat tiba di balai polis tempatan sekitar jam 5 pagi.

Malangnya, dia terlupa nombor telefon milik suaminya dan melaporkan bahawa dia juga meninggalkan telefonnya di dalam kereta tersebut.

Disebabkan itu, pihak berkuasa bertindak untuk menghubungi saudara maranya kerana pada ketika itu dia boleh dikatakan ‘sehelai sepinggang’ tanpa mempunyai duit.

Menurut New York Post, pihak berkuasa telah berjaya mengesan suaminya yang dipercayai telah memandu sehingga wilayah Korat (159.6 km) pada pukul 8 pagi.

Mendengar makluman daripada pihak polis, si suami bergegas memandu pulang ke Kabin Buri untuk mengambil isterinya.

“Saya sangka dia berada di tempat duduk belakang, tidur,” kata si suami.

Disebabkan itu, suaminya lantas memohon maaf atas kesalahannya sejurus selepas dia sampai di balai polis.

Menurut isterinya, mereka telah melayari alam perkahwinan selama 27 tahun dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia 26 tahun.

Tambahnya lagi, ini bukan kali pertama suaminya secara tidak sengaja meninggalkan isterinya semasa berhenti di tepi jalan.

Sumber: New York Post

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.