Terkenal Dengan Taburan Salji Tertinggi, Siapa Sangka Jepun Guna Teknologi Kekalkan Haba Dalam Rumah
Jepun sebuah negara yang terkenal dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi yang cukup mengkagumkan. Negara “Matahari Terbit” ini juga memberi impak yang besar ke seluruh dunia dengan pelbagai teknologi yang dieksport ke luar negara.
Ketika musim sejuk, negara ini akan menerima taburan salji antara yang paling tinggi di dunia. Jadi, umunya negara ini juga perlu berdepan dengan cuaca ekstrem setiap tahun. Tanpa persediaan yang mantap daripada kerajaan, sudah tentu keadaan ini akan mendatangkan masalah kepada penduduk tempatan.
Seperti yang kita tahu, Jepun sebelum ini telah membina sistem untuk mengatasi banjir iaitu “Saluran Pelepasan Bawah Tanah Luar Kawasan Metropolitan” (MAOUDC). Bagaimana pula dengan persediaan mereka berdepan dengan cuaca bersalji yang luar biasa?
Justeru kali ini kami ingin berkongsi info yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang dikenali Zunita Ramli, berkenaan satu sistem yang dinamakan “Teknologi Penyingkiran Salji” yang ada di Jepun
Bagaimana ia berfungi? Jom kita sama-sama ikuti perkongsian beliau tentang sistem tersebut di bawah.
Menurut beliau, di wilayah-wilayah yang menerima banyak salji, jalan-jalan utamanya akan dipasang dengan alat pencairan salji atau lebih dikenali dengan panggilan “shosetsu”. Shosetsu berbentuk seperti pemercik air rumput tetapi ia dipasang di jalan dan menggunakan air panas yang dipam dari sistem bawah tanah atau air yang bercampur dengan salji dan air sungai.

Selain shosetsu, mereka juga guna menggunakan teknologi “Pemanas jalan”. Ia bermaksud jalan tersebut dipanaskan dengan paip yang menyalurkan air panas ke bawah jalan tersebut. Teknologi ini berbeza dengan shosetsu kerana ia tidak menggunakan pemercik air tetapi jalan itu sahaja yang akan dipanaskan dengan paip yang ditanam 10 cm di bawah jalan.

Bagaimanapun, kaedah memanaskan jalan menggunakan haba ini memakan kos yang tinggi kerana tenaga biasanya dijana menggunakan elektrik, minyak atau gas. Justeru, saintis di Jepun telah menambahbaik sistem pencairan salji ini dengan membangunkan teknologi pencairan yang menggunakan haba dari paip pembentungan.
Paip pembentungan memang diketahui mempunyai suhu yang agak stabil sepanjang tahun. Pada musim panas, suhu di dalam paip ini lebih rendah berbanding suhu di luar manakala ketika musim sejuk, yang berlaku adalah sebaliknya.
Berdasarkan pengetahuan orang Jepun dalam perkara tersebut, maka terhasilah sistem pemanasa jalan berdasarkan haba kumbahan.
”Caranya, air dari paip pembentungan disalurkan ke paip “heat collecting pipe”. Air ni kemudiannya disalurkan ke “heat radiation panel” yang dipasang di bawah jalan raya untuk cairkan salji,” kata Zunita.
Menurut beliau, cara ini berjaya mengurangkan hampir 90 peratus penggunaan tenaga dan kos tahunan sebanyak 14 peratus berbanding cara konvensional yang biasa.
Begitulah cara bagaimana mereka bersedia berdepan dengan cuaca ekstrem yang diketahui akan melanda negara tersebut setiap tahun. Semoga bermanfaat.
Sumber: Zunita Ramli via Facebook