Siakap Keli
Kredit: CDC & KKM

Kes Ameba Pemakan Otak Di Korea Selatan, KKM Minta Orang Ramai Hati-hati Ketika Buat Aktiviti Air Tawar

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti air, khususnya aktiviti di kawasan perairan air tawar. Pesanan berkenaan dibuat susulan laporan kes jangkitan amoeba pemakan otak, Naegleria Fowleri yang dilaporkan telah meragut nyawa warga Korea Selatan baru-baru ini.

Kredit: CDC

Berdasarkan laporan berita tersebut, Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) telah mengesahkan kematian seorang lelaki warga Korea Selatan yang berusia lingkungan 50-an pada 21 Disember 2022 disebabkan jangkitan amoeba Naegleria Fowleri.

Lelaki tersebut juga dilaporkan telah kembali ke Korea Selatan pada 10 Disember 2022 yang lalu, selepas menetap  di sebuah negara Asia Tenggara selama empat bulan.

“Naegleri Fowleri merupakan amoeba termofilik atau dikenali juga sebagai organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia. terutamanya di dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta juga dalam tanah. Walau bagaimanapun, ia tidak ditemui dalam air masin seperti di lautan.

“Amoeba Naegleri Fowleri tersebut juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang. Ianya berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar. Namun, sehingga kini tiada bukti jangkitan boleh merebak melalui wap air atau titisan aerosol.”

Bahana yang dibawa ameba adalah menjadi punca jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM) yang boleh membawa kepada kematian.

Kredit: CDC

“Pada peringkat awal, gejala PAM menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam, loya, atau muntah. Gejala yang lebih serius seperti kekakuan leher (neck stiffness), kekeliruan (confusion), kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling (lack of attention to people and surrounding), sawan, halusinasi, dan koma juga boleh berlaku.”

Berdasarkan kenyataan media KKM, gejala-gejala ini akan muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) secara kebiasaan dan boleh muncul seawal satu hari atau selewat- lewatnya 12 hari selepas dijangkiti.

Bukan itu sahaja, keadaan pesakit juga boleh bertambah kritikal dengan pantas dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hingga 18 hari daripada onset gejala.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Noor Hisham Abdullah berkata, penyakit ini dikenalpasti melalui kaedah pengesanan asid nukleik Naegleria Fowleri di dalam cecair tulang belakang atau tisu otak pesakit.

Manakala, rawatan bagi penyakit ini adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan tetapi rawatan adalah sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit ini berlaku sangat pantas.

Sehingga kini, pihak KKM mendapati bahawa tiada rekod kes jangkitan Naegleria Fowleri ini dilaporkan berlaku di Malaysia.

Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia dinasihatkan agar berwaspada dan mengambil langkah-langkah proaktif ketika melakukan aktiviti-aktiviti di kawasan perairan air tawar seperti di bawah;

1. Elakkan daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ;
2. Elakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air yang mungkin dicemari oleh ameba boleh memasuki rongga hidung secara terus;
3. Mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air; dan
4. Segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher (neck stiffness) secara tiba- tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti di dalam air.
Kredit: CDC

Pada akhir kenyataanya, pihak KKM akan terus komited dalam melakukan pemantauan rapi mengenai situasi jangkitan Naegleria Fowleri, sama ada berada di dalam dan luar negeri dari semasa ke semasa.

Perkara ini adalah untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan pihak tersebut akan sentiasa berdedikasi dalam memberikan maklumat yang tepat dan memberikan maklum balas pantas sekiranya terdapat perkembangan terkini mengenai penyakit tersebut.

BACA: Lelaki Warga Emas Dilapor Maut, Korea Selatan Catat Kes Pertama Jangkitan Amoeba Pemakan Otak

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) via Facebook 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma