Penduduk Kuwait meluahkan rasa kagum dan teruja selepas negara mereka dilanda fenomena ribut dan hujan batu baru-baru ini, lapor Daily Mail.
Hal ini kerana negara itu selama ini dipercayai tersenarai sebagai salah sebuah negara yang terpanas di Bumi.
Bekas Pengarah Jabatan Meteorologi Kuwait, Muhammad Karam berkata,”Kami tidak dapat merasai hujan batu semasa musim sejuk dalam tempoh masa 15 tahun,”
Tambahnya lagi, hujan tersebut dikatakan bermula sejak Selasa lalu sehingga sekarang dan kini sudah mencecah 63 milimeter tetapi cuaca dilaporkan semakin cerah.
Selain itu, suhu diramalkan mencecah 18 darjah celcius (°C) tetapi amaran cuaca tetap dikeluarkan untuk memastikan keselamatan penduduk.
Susulan itu, hujan dijangka reda sekurang-kurangnya dalam beberapa hari akan datang. Namun, cuaca akan kembali hujan pada Ahad menjelang tahun baharu.
Secara purata, Kuwait merekodkan 1.2 hari hujan setiap tahun pada bulan Disember dengan hujan kemuncak selama dua hari pada Januari dengan purata kira-kira 12 milimeter.
Dalam pada itu, Karam menjangkakan fenomena tersebut akan berulang ekoran daripada perubahan iklim yang mengganggu corak cuaca negara.
Hal ini kerana negara Teluk yang kaya dengan minyak itu telah mengalami panas yang terik.
Tidak hanya itu, malah para saintis telah meramalkan bahawa negara tersebut ‘boleh menjadi tidak dapat didiami’ pada masa hadapan kerana perubahan iklim.
Turut dibuktikan pada tahun 2016, suhu musim panas memuncak kepada 54 (°C) atau 129 darjah Fahrenheit.
Malah, Pihak Berkuasa Awam Alam Sekitar telah memberi amaran, “Sebahagian daripada Kuwait boleh menjadi 4.5 (°C) lebih panas pada tahun 2071 hingga 2100 berbanding purata sejarah.”

Reaksi penduduk Kuwait
Justeru, banyak gambar yang tersiar di media sosial memaparkan riak wajah penduduk Kuwait yang gembira, malah ada yang bermain ketulan ais di kawasan terlibat.
Tidak hanya itu, ada juga penduduk yang menghargai saat indah tersebut dengan menari dalam hujan lebat yang melanda.
Malah, jalan di bahagian selatan turut telah diselubungi hujan dan ais, namun perkara itu tidak membuatkan penduduk berhenti untuk meraikannya.
“Saya berada di Kuwait selama lima tahun, tetapi saya tak pernah mengalami pengalaman itu (hujan batu), saya masih mahu mencuba sesuatu seperti itu (hujan batu),” kata seorang individu selepas menonton video tular mengenainya.
Sementara itu, ada individu lain turut mengiyakan bahawa hujan batu tersebut seperti satu keajaiban kepada Kuwait dan ia bagaikan satu rahmat.
Tidak ketinggalan juga seorang pekerja tempatan (lelaki) berlari melalui kawasan berais dan memegangnya seakan-akan tidak percaya bahawa negara mereka mengalami hujan batu ketika itu.

Sumber: Daily Mail