KANADA – Kanada telah menguatkuasakan larangan ke atas warga asing yang ingin membeli rumah sebagai usaha dalam mengawal kenaikan harga rumah di negara berkenaan.
Memetik laporan CNN, undang-undang baharu Kanada yang telah berkuat kuasa mulai 1 Januari itu pada dasarnya melarang pelabur asing daripada membeli hartanah sebagai pelaburan selama 2 tahun.
Difahamkan, undang-undang itu diluluskan setelah harga kediaman di Kanada melonjak naik sejak wabak COVID-19 bermula.
Menurut Perdana Menteri, Justin Trudeau, keinginan untuk membeli rumah di Kanada itu telah menarik minat beberapa syarikat kaya dan pelabur asing.
“Ia telah membawa kepada masalah sebenar apabila perumahan tersebut tidak digunakan dan kosong, spekulasi berleluasa dan harga melambung tinggi. Rumah dibina untuk orang ramai, bukan pelabur,” jelas pihaknya.
Menurut Persatuan Hartanah Kanada (CREA), purata harga rumah di Kanada telah memuncak melebihi $800,000 pada bulan Februari dan kemudiannya jatuh berterusan sebanyak kira-kira 13 peratus daripada harga tersebut.
Bagaimanapun, CREA turut menyuarakan kebimbangan mengenai undang-undang baharu yang dikenakan itu.
“Kanada telah membina reputasi sebagai negara berbilang kaum dan budaya yang mengalu-alukan orang ramai dari seluruh dunia.
“Cadangan mengenai larangan pembelian harta kediaman oleh warga asing boleh menjejaskan reputasi kami sebagai negara yang mengalukan kedatangan orang luar,” tambah pihaknya.
Dalam pada itu, CREA juga menyatakan kebimbangan bahawa larangan itu boleh mendorong tindakan balas oleh Amerika Syarikat dan Mexico untuk melarang pembelian di negara tersebut oleh warga Kanada, terutamanya pesara yang sedang mencari rumah pada musim sejuk.
Malah, pihaknya turut menjelaskan bahawa warga Kanada merupakan pembeli asing terbesar bagi hartanah di Amerika Syarikat apabila separuh daripada hartanah dibeli oleh warga Kanada di Florida dan Arizona.
“Jika Kanada melarang orang Amerika memiliki hartanah di Kanada, kita perlu bersiap sedia sekiranya mereka bertindak balas dengan cara yang sama,” kata pihaknya kepada CNN.
Sumber: CNN