Siakap Keli
kanak-kanak lemas di pantai
Gambar: Thaiger

Sambutan Tahun Baharu Bertukar Tragedi, Kanak-Kanak Lemas Di Pantai

Niat untuk menyambut sambutan tahun baharu bersama keluarga di pantai berubah menjadi peristiwa hitam apabila seorang kanak-kanak perempuan dipercayai lemas ketika mandi di pantai dalam kejadian di Thailand kelmarin.

Difahamkan mangsa berusia 10 tahun itu mandi bersama dua lagi kanak-kanak yang lain di Pantai Chalathat pada petang Sabtu (31 Disember).

Pada awalnya keluarga mangsa yang berasal dari wilayah Yala, selatan Thailand membuat keputusan pergi ke Pantai Chalathat semata-mata untuk menyambut ambang tahun baharu bersama saudara-mara yang lain.

Ketika hari kejadian mangsa difahamkan pergi ke pantai berkenaan bersama ibunya dan dua lagi kanak-kanak yang lain.

Disebabkan ombak pada ketika itu tidak terlalu tinggi, ibunya membenarkan mangsa berenang dan bersuka ria dengan kanak-kanak yang lain di pinggir pantai berkenaan.

Kanak-kanak lemas di pantai
Kredit: Thaiger

Namun, malang tidak berbau apabila ombak yang menghempas semakin kuat hingga menyebabkan mangsa hanyut dibawa ke tengah laut.

Bagaimanapun dalam masa sama dua lagi kanak-kanak yang lain selamat kembali semula ke pantai.

Ekoran kejadian itu, ibu bapa mangsa bersama pasukan penyelamat terpaksa bertungkus-lumus sepanjang malam mencari mangsa yang hilang di sekitar pantai tersebut.

Akhirnya kira-kira pukul 9:40 pagi keesokan harinya (Ahad), pasukan penyelamat berjaya menemui mayat mangsa di kawasan pantai, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian yang sama, seorang pengawal keselamatan yang turut serta dalam operasi mencari mangsa kanak-kanak berkenaan juga dilapor terkorban.

Menurut laporan, lelaki yang berumur 36 tahun itu tidak sedarkan diri (dipercayai pengsan) semasa operasi itu dijalankan.

Disebabkan itu, pihak penyelamat yang lain bertindak untuk membawanya ke darat (pantai).

Pengawal berkenaan dikejarkan ke Hospital Songkhla untuk tindakan kecemasan namun akhirnya dia disahkan meninggal dunia di sana.

Sumber: Thaiger

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.