Doktor Dedah Masak Nasi Dengan 4 Kaedah Ini, Dapat Kurangkan Kandungan Arsenik
Rata-rata rakyat Malaysia gemar menanak nasi dengan menggunakan periuk nasi. Kaedah ini disifatkan mudah, cepat dan pantas disebabkan mekanisme yang terdapat dalam peranti tersebut memang dikhususkan untuk memasak nasi.
Namun tahukah anda, jika anda memasak nasi seperti kaedah biasanya yang anda lakukan setiap hari, berkemungkinan akan menyebabkan saki baki kandungan arsenik tertinggal pada makanan ruji anda.
Adakah kandungan arsenik ini berbahaya kepada manusia dan perlukah kita mengurangkannya sehingga mencapai kadar yang selamat?
Jangan risau, seorang doktor perubatan, Mazliana Mazlan telah berkongsi cara memasak nasi dengan menggunakan empat kaedah menerusi Facebooknya.
Kaedah ini dapat kurangkan kandungan arsenik dalam makanan ruji anda, mari kita ikuti perkongsian daripada beliau: –
Arsenik ni sejenis elemen semulajadi yang ada pada air, tanah, udara, haiwan dan tumbuhan. Ada jugak arsenik buatan yang digunakan dalam racun serangga untuk tanaman.
Dalam beras, terdapat hampir 10 – 20 kali lebih banyak arsenik berbanding dengan bijirin lain disebabkan keadaan padi yang terendam di dalam sawah yang sentiasa bertakung dengan air. Ada jugak yang disembur dengan racun serangga daripada arsenik buatan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), jika kita terdedah dengan arsenik dalam tempoh yang lama, ia boleh menyumbang kepada penyakit jantung, kencing manis, pertumbuhan terbantut, kanser dan juga masalah neurologi. Antara simptom lain, sakit perut, sakit kepala dan cirit-birit.
Kita makan nasi hari-hari.
Kalau cara pemilihan, pengendalian beras dan cara memasak yang betul kita amalkan, insyaAllah dapat kurangkan kandungan arsenik dalam nasi untuk keluarga kita makan.
Setiap jenis beras ada kandungan arsenik yang berbeza.
Padi yang ditanam di kaki bukit contohnya padi beras basmati, kandungan arseniknya kurang berbanding padi di sawah yang memiliki takungan air yang lebih banyak. Disebabkan air sentiasa membanjiri padi pada setiap masa di sawah, maka kandungan arseniknya semakin tinggi.
Saya kongsikan cara kendalikan beras supaya kandungan arsenik berkurangan dalam nasi yang dimakan di rumah.
1. Basuh beras sampai air basuhan jernih
Basuh, basuh dan basuh sampai jernih. Sambil selawat, tak sedar pun bahawa kita dudah membasuhnya sebanyak empat ke lima kali. Untuk makluman, arsenik ini larut air, makanya ia akan lebih banyak tersingkir jika kita membasuhnya berkali-kali.
Nutrisi memang akan hilang sedikit apabila kita membasuhnya berulang-ulang kali tetapi penyingkiran kandungan arsenik adalah lebih penting untuk kita utamakan.


2. Rendam beras
Rendam beras semalaman mampu mengurangkan kandungan arsenik lebih efektif berbanding dengan hanya membasuhnya berkali-kali. Anda boleh merendam beras selama satu malam dan mengurangkan kandungan air sewaktu menanak nasi pada keesokan harinya.
3. Lebihkan air sewaktu memasak
Gaya ini merupakan gaya yang sering digunakan oleh atuk nenek kita ketika menanak nasi pada dahulu kala. Mereka akan lebihkan air sewaktu menanak nasi dan ketika nasi sudah hampir masak, buang air yang berlebihan dan masak seperti biasa.

Kajian menyatakan jika kita masak dengan porsi beras dan air sebanyak 1:5, kandungan arsenik dapat berkurangan sehingga 50 peratus. Oleh itu, gunakan air yang banyak semasa menanak nasi dan buang air yang berlebihan untuk menyingkirkan kandungan arsenik tersebut.
4. Rendam beras, basuh berkali-kali dan lebihkan air sewaktu memasak
Buat ketiga-tiga langkah yang saya kongsikan sebelum ini dan kaedah ini merupakan cara paling terbaik untuk mengurangkan kandungan arsenik hingga mencecah 80 peratus.
Dengan cara masakan ini juga, kanji dari nasi akan keluar bersama-sama melalui air dan nasi kita akan menjadi kurang kanji dan rendah Glycemic Index (GI).
Saya kongsikan empat kaedah boleh dilakukan untuk mengurangkan kandungan arsenik dalam nasi yang dimakan oleh keluarga kita setiap hari.
Sungguhpun begitu, anda tidak semestinya perlu untuk melakukan semua kaedah seperti yang dinyatakan pada (4). Kalau dapat lakukan satu kaedah pun sudah memadai.
Kadang-kandang, kita tidak sempat untuk merendam beras selama semalaman dan terkejar-kejar untuk menyiapkan hidangan kepada keluarga. Membasuh beras sehingga air basuhan beras menjadi jernih pun sudah dapat mengurangkan sedikit kandungan arsenik kepada tahap selamat.
Yang penting, kita ada usaha untuk menghidangkan nasi yang terbaik buat keluarga kita. Sama-sama kita cuba ya, insyaAllah.
BACA: “Annyeong…” Wanita Kongsi Resipi Mudah Jeruk Sayuran Korea ‘Kimchi’, Tiga Bahan Ni Je
Sumber: Mazliana Mazlan via Facebook