Siakap Keli
Ken Block Meninggal Dunia
Kredit: TMZ

Juara Rali, Ken Block Meninggal Dunia Dalam Kemalangan Salji

Juara kereta rali terkenal dunia, Ken Block dilaporkan meninggal dunia berikutan terlibat kemalangan jentera salji dalam nahas di Utah, Amerika Syarikat (US) semalam.

Bintang sukan aksi dan juga pengasas bersama DC Shoes, 55 tahun itu dikatakan mengendalikan jentera berkenaan sekitar 2 petang sebelum ia tiba-tiba terbalik dan mendarat di atas badannya.

Jurucakap polis daerah Wasatch mengesahkan kematiannya di tempat kejadian ekoran daripada kecederaan yang dialaminya semasa kemalangan itu.

Bagaimanapun, butiran lanjut tentang kemalangan itu masih belum jelas.

“Block (pada asalnya) menaiki jentera itu dengan kumpulannya tetapi bersendirian ketika kemalangan itu berlaku. Kami bersama rakan serta keluarganya yang mendengar berasa sangat terekesan dengan kehilangannya,” kata rakannya, Hoonigan.

Menurut ahli pasukan Block, dia menyifatkan bahawa Block seorang yang berwawasan, perintis, ikon dan yang paling penting dia seorang suami merangkap seorang bapa.

“Dia akan sangat dirindui,” tambahnya.

Kematian Block telah  meninggalkan seorang isteri, Lucy dan tiga orang anak antaranya Lia, 16 tahun yang juga mengikut jejaknya sebagai pemandu kereta rali.

Difahamkan, Block dikatakan sempat memuat naik gambar suasana salji melalui Instragram peribadinya pada awal Isnin, semalam.

Kredit: Ken Block via TMZ

Untuk rekod, Block adalah antara pemandu kereta rali yang terkenal di dunia sejak melibatkan diri sekitar tahun 2000-an hingga berjaya menduduki podium berpuluh-puluh kali selama ini.

Tidak hanya itu, Block juga pernah bertanding dalam sukan aksi yang lain seperti motocross, papan luncur, papan salji dan sebagainya.

Hal itu menyebabkan Block menjadi bintang sukan aksi di media sosial yang memiliki berjuta-juta pengikut di laman media sosialnya.

Bukan hanya aktif dalam sukan, Block juga turut menceburkan diri dalam bidang fesyen iaitu mengasaskan perniagaan DC Shoes pada tahun 1994 bersama rakan kongsinya, Damon Way.

Ken Block Meninggal Dunia
Kredit: TMZ

Sumber: TMZ

 

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.