Seorang lelaki yang mengalami kecederaan dalam kemalangan motosikal dilaporkan selamat selepas terbaring selama enam hari di tepi jalan di wilayah Isaan Udon Thani, Thailand.
Difahamkan mangsa, Witthawat Nanthapetch dilaporkan hilang pada 29 Disember tahun lalu selepas pergi ke bar untuk minum bersama-sama rakan-rakannya.
Menurut rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Witthawat, 22 tahun dilihat berjalan keluar dari bar sekitar pukul 1:44 pagi sebelum dilaporkan hilang.
Dipercayai sudah meninggal dunia
Susulan itu, ahli keluarga mangsa berusaha menjejaki mangsa selama empat hari, tetapi tidak menemui sebarang tanda-tanda keberadaan lokasinya.
Tidak hanya itu, rakan-rakannya juga membantu proses pencarian mangsa dengan memuat naik hebahan di media sosial dan menggesa sesiapa yang pernah melihat mangsa bertindak untuk menghubungi mereka.
Namun di sudut lain, ahli keluarga dan rakan-rakan Witthawat juga mempercayai bahawa Witthawat sudah meninggal dunia, namun mereka berkeras mahu mencari jenazahnya untuk dikebumikan.

Bagaimanapun, takdir menemukan Witthawat dengan bapa saudaranya yang ternampak motosikal miliknya di tepi jalan Udon-Nong Bua Lamphu Road berhampiran Lapangan Terbang Udon Thani.
Sebagaimana yang lain, bapa saudaranya, Wanna Kamrin, 55 tahun juga pada asalnya mempercayai Witthawat sudah meninggal dunia lantas membuat spekulasi sendiri.
Baginya, Witthawat memang terlibat dalam kemalangan dan mayatnya tersembunyi di sebalik timbunan rumput di tepi jalan.
Disebabkan itu, Wanna bertindak untuk menghubungi pihak polis dengan niat ingin membantu membawa mayat mangsa balik ke rumahnya.
Hadiah tahun baru yang terbaik bagi seorang ibu
Tidak disangka-sangka, apabila pihak penyelamat tiba, mereka terkejut apabila mendapati Witthawat masih bernafas dan terlihat luka serta bekas gigitan di seluruh badan.
Ekoran daripada itu, Witthawat dihantar dengan segera ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Apabila berita tentang Witthawat sampai kepada ibunya, perasaan gembira wanita tersebut tidak dapat digambarkan ketika itu. Hanya air mata yang menjadi bukti kasih sayang kepadanya.
Malah, ibu Witthawat turut menyifatkan bahawa pertemuan semula dengan anaknya yang masih hidup adalah hadiah tahun baharu yang terbaik bagi seorang ibu.
Sumber: Thaiger