Lelaki Sanggup Habiskan Lebih RM130k Tempah Patung Seiras Isteri Yang Meninggal Dunia Akibat COVID-19
INDIA – Seorang lelaki yang merupakan pesara penjawat awam di timur India dilapor sanggup menghabiskan duit kira-kira RM132,000 untuk membeli patung silikon demi memastikan kehadiran mendiang isterinya sentiasa dirasai.
Memetik laporan SCMP, lelaki itu telah kehilangan isteri yang dikahwini selama 39 tahun akibat COVID-19 semasa jangkitan gelombang kedua berlaku di India pada tahun 2021.
Justeru, dia cuba mengurangkan kesedihannya dengan menyimpan figura silikon seiras isterinya di ruang tamu rumahnya.
Difahamkan, lelaki terbabit tiada di sisi isterinya apabila isterinya meninggal dunia ketika berusia 59 tahun pada 4 Mei 2021 yang lalu.
Dia dipercayai sedang menjalani isolasi ketika isterinya dibawa ke hospital. Keadaan menjadi lebih sedih apabila isterinya disahkan meninggal dunia seorang diri di katil hospital.
Beberapa bulan selepas kematian isterinya, dia mula teringat kembali tentang memori yang dilakukan bersama isterinya sebelum pergi ke sebuah kuil Hindu dimana mereka telah melihat sebuah patung yang sangat realistik.
“Ketika itu isteri saya memberitahu saya tentang keinginannya untuk membuat patung yang serupa jika dia meninggal dunia sebelum saya,” katanya.
Bagaimanapun, ahli keluarga lelaki itu tidak menggalakkan idea tersebut diteruskan kerana menganggap ia sebagai sesuatu yang tidak realistik.
Namun, lelaki itu berpendapat bahawa jika orang lain boleh menyimpan gambar seseorang yang telah mati, maka tidak salah baginya untuk menyimpan sebuah patung bagi mengingati isterinya.
Dia kemudiannya menghubungi seorang pengukir, Subimal Das yang berpengalaman dalam membuat patung daripada lilin, gentian kaca dan silikon bagi beberapa bangunan awam dan muzium.
Dalam pada itu, Das berkata bahawa patung silikon tersebut merupakan satu kerja yang mencabar baginya. Dia perlu menggunakan gambar lama wanita itu untuk mencipta imej 3D bagi membantu membetulkan ekspresi wajahnya.
“Tiga minggu masa diambil hanya untuk mencantum rambut palsu,” jelasnya.
Selepas enam bulan membina patung tersebut, ia kemudiannya perlu diberi pakaian. Lelaki itu telah meminta bantuan daripada seorang tukang jahit untuk memakaikan blaus berserta sari sutera kepada patung isterinya dimana ia merupakan pakaian yang sama sewaktu majlis perkahwinan anaknya.
Malah, dia turut memilih untuk menghiasi patung mendiang isterinya dengan perhiasan emas kegemarannya.
Setelah patung tersebut siap dicipta sepenuhnya, lelaki itu pergi ke studio Das untuk melihat patung tersebut. Das memberitahu bahawa lelaki itu kelihatan sangat terkejut sehingga tidak dapat mengeluarkan sebarang kata-kata.
“Dia tidak dapat mengeluarkan sebarang perkataan. Dia berasa sangat terharu, seolah-olah hasrat yang dipendam selama ini telah dipenuhi. Daripada reaksinya, saya tahu bahawa saya telah melakukan yang terbaik,” katanya.
Sumber: South China Morning Post