Kadar Dividen Berbeza Setiap Tahun, Berbaloi Atau Tidak Melabur Dalam ASB? Ini Yang Anda Perlu Tahu
Pelaburan merupakan satu tindakan berani dan berisiko yang diambil oleh seseorang pelabur untuk meraih keuntungan atau kerugian bergantung terhadap pelbagai faktor.
Kebiasaannya nilai yang dilabur adalah dalam bentuk wang, emas ataupun aset hartanah. Seiring peredaran waktu, bentuk pelaburan juga semakin berbeza-beza sehingga mampu dilakukan secara atas talian.
Antara saham pelaburan yang terkenal di Malaysia termasuklah Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang menjadi platform simpanan wang bagi rakyat.
Bagaimanapun, masih ramai rakyat yang tidak mendapat pendedahan secara jelas mengenai ASB ini sehingga kini. Tambahan lagi, ia juga memberikan banyak manfaat kepada mereka yang terlibat dalam saham pelaburan ini.
Dalam pada itu, selepas tahun 2023 membuka tirai beberapa hari yang lalu, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengumumkan nilai pengagihan ASB bagi tahun lalu.
Pengumuman tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam. Dalam masa yang sama timbul persoalan sama ada pelaburan di dalam ASB ini masih relevan atau tidak.
Untuk mengetahui jawapannya, mari ikuti perkongsian oleh Financial Faiz di bawah ini.
Latar Belakang ASNB
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) merupakan satu unit pengurusan yang ditugaskan di bawah Permodelan Nasional Berhad (PNB).
ASNB bertindak sebagai sebuah badan kepercayaan yang menguruskan pelbagai unit tabung amanah termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB).
ASB juga terdiri daripada pelbagai jenis tabung unit lain seperti ASB, ASB 2, ASB 3 Didik. Selain ASB, terdapat juga unit lain seperti Amanah Saham Malaysia (ASM), ASM 2 Wawasan, ASM 3.
Kesemua enam unit ini mempunyai persamaan iaitu satu nilai unit bersamaan RM 1 (unit kekal).
ASN, ASN equity 2, ASN Equity 3, ASN Equity 5, ASN Equity Global, ASN Imbang 1, ASN Imbang 2,ASN Imbang 3 Global, ASN Sara 1 dan ASN Sara 2 juga termasuk dalam seliaan ASNB.
Perkara ini menjadikan jumlah keseluruhan unit tabung amanah yang diurus oleh ASNB adalah sebanyak 16 unit.
Setiap unit mempunyai syarat-syarat atau batasan yang berbeza dikenakan terhadap mereka yang ingin melabur di dalam salah satu unit ASNB.
Sejak ditubuhkan pada 22 Mei 1979, kini ASNB memiliki lebih 2,700 cawangan ejen di seluruh negara.
Apa itu Amanah Saham Bumiputera (ASB)?
Amanah Saham Bumiputera merupakan Akronim bagi ASB sememangnya popular dalam kalangan rakyat Malaysia. ASB merupakan salah satu unit tabung amanah di bawah pengurusan ASNB.
Saham ini bukan sahaja terikat rakyat bumiputera namun rakyat yang berstatus bukan bumiputera juga layak untuk melabur.
Bagaimanapun, mereka yang ingin membuat pelaburan dalam saham ini perlu merujuk kepada syarat yang diletakkan oleh ASB iaitu seorang muslim.
Barulah seseorang tersebut layak untuk melabur dalam saham ASB.
Mengapa Ramai Lebih Memilih ASB?
Rakyat Malaysia kebiasaannya lebih memilih untuk melabur dalam unit ASB berbanding saham-saham yang lain.
Hal ini kerana ASB memberikan pulangan unit yang sama sewaktu dilaburkan atau dalam erti kata yang lain anda tidak akan mengalami sebarang kerugian sekiranya ingin mengeluarkan semula duit pelaburan dalam tempoh masa yang tertentu.
Antara unit yang menawarkan syarat ini adalah ASB, ASB 2, ASB 3 Didik, ASM, ASM 2 Wawasan dan ASM 3.
Persoalannya, dari mana manfaat yang diperolehi oleh pemegang saham ini? Jawapannya adalah menerusi pulangan dividen tahunan. Setiap hujung tahun ASB akan mengeluarkan kadar dividen yang bakal diterima oleh pemegang saham tanpa perlu risau berlaku kerugian.
Perbezaan antara ASB dengan Saham lain
Sebenarnya terdapat tiga perbezaan antara ASB dengan unit-unit yang lain dalam aspek pulangan (keuntungan) terhadap pemilik saham iaitu distribution, capital appreciation dan sales charge.
Distribution
Langkah ini sama dengan kaedah yang digunakan oleh ASB kerana mengekalkan nilai unit yang sama. Bermaksud, satu unit bersamaan nilai RM1.
Sebagai contoh, jika pemegang saham ingin mengeluarkan wang, mereka akan memperolehi nilai yang sama sewaktu membuat pelaburan.
Oleh itu, mereka hanya akan mendapat pulangan atau manfaat daripada dividen yang diterima hasil pelaburan yang dilakukan. Cara ini dikenali sebagai pulangan distribution.
Konsep ini tidak tidak digunakan oleh unit yang lain.
Capital Appreciation
Cara yang kedua pula Capital Appreciation yang membawa maksud kepada nilai setiap unit sama ada boleh berubah ataupun kekal
Di sinilah terdapat perbezaan ketara antara ASB dan unit. Seperti penjelasan di atas, ASB mengekalkan nilai unit yang membolehkan pemegang tidak akan mengalami kerugian (wang yang dilabur tidak akan diusik).
Sebagai contoh, pada tahun 2022, peratusan yang diperolehi oleh setiap pemegang saham ASB adalah sebanyak 4.6 peratus seunit dan bonus sebanyak 0.5 peratus.

Manakala unit yang lain pula ia boleh memberikan pulangan yang tidak tetap kepada pemegang unit tersebut sama ada mendapat keuntungan atau kerugian mengikut tahun yang anda keluarkan. Perkara ini bergantung pada nilai unit pada tahun keluaran.
Sales Charge
Perbezaan yang seterusnya adalah Sales Charge atau caj jualan. Bagi ASB, ia tidak mengenakan caj ke atas pelaburan yang dibuat. Misalnya wang yang dilaburkan akan diperolehi dalam jumlah yang sama sewaktu dikeluarkan.
Manakala unit-unit yang lain pula akan dikenakan sales charge misalnya wang yang dilaburkan dalam jumlah tertentu tidak akan sama selepas dikeluarkan kerana dicaj untuk sejumlah penolakan.
Kadar Dividen Tahunan
Seperti yang diketahui, kadar dividen yang diumumkan oleh pihak ASNB adalah berbeza mengikut tahun dan bergantung kepada nilai agihan.
Misalnya, baru-baru ini jumlah pembayaran yang dikeluarkan oleh ASB pada tahun ini adalah sebanyak RM 8.9 bilion dan diberikan kepada 10.6 juta pemegang saham ASB.
Setiap pemegang saham akan mendapat nilai agihan (dividen) sebanyak 4.60 seunit dengan bonus tambahan 0.5 seunit.
Ke Manakah Wang ASB Dilaburkan?
Umumnya, Pengurus Dana atau Fund Manager akan melaburkan duit tersebut bagi membeli saham-saham yang besar dan dipercayai misalnya Maybank dan Sime Darby sehingga syarikat ini memberikan keuntungan kepada ASB.
Secara tidak langsung harga saham akan meningkat dan memberikan keuntungan kepada pihak ASB sekaligus pemegang saham ASB akan mendapat pulangan termasuk dividen. Sistem ini juga dikenali sebagai capital appreciation.
Pengiraan ASB
Pengiraan ASB akan dibuat bermula pada 1 Januari sehingga 31 Disember bagi setiap tahun. Nilai dividen akan dicongak dengan nilai pada tahun berkenaan berpandukan baki minima yang terdapat di dalam akaun pada setiap hujung bulan selama setahun.

Selepas itu, barulah pemegang saham akan mendapat nilai dividen selama setahun.

Berbaloi Atau Tidak Melabur Dalam ASB?
Menurut Financial Faiz, bagi mereka yang tertanya-tanya sama ada berbaloi atau tidak untuk membuat pelaburan di dalam ASB, jawapannya adalah berbaloi.
Hal ini demikian kerana jika dilihat secara kasar, aliran keluar masuk wang bagi ASB adalah lebih mudah berbanding unit lain misalnya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menetapkan syarat atau limitation yang lebih ketat.
Tambahan lagi, wang yang dilabur juga akan sentiasa terjamin (tidak berlaku kerugian) malah mendapat pulangan dividen pada akhir tahun bergantung jumlah dividen yang diumumkan pihak ASB.
Untuk lebih faham, anda boleh tonton video Financial Faiz di bawah ini.
Sumber: Youtube Financial Faiz, PNB