“Eh, Tak Boleh Senyum Masa Kahwin,” Kenali Adat Kaum Congo
Biasanya, kita akan cuba untuk kelihatan anggun dan ceria semasa hari perkahwinan. Majlis perkahwinan dilihat sebagai satu majlis yang meraikan ikatan cinta yang sah antara dua insan.
Secara umumnya, anda adalah ‘main character‘ dalam majlis perkahwinan anda. Maka, segala gerak geri anda diperhatikan oleh para tetamu.
Bayangkan jika anda mencarikkan muka anda buat seketika, ia akan memberi persepsi buruk kepada para tetamu.
“Eh, dia ni kena kahwin paksa ke?”
“Ni mesti tak setuju dengan pilihan keluarga.”
Mungkin, ada banyak lagi desas-desus, cakap-cakap yang mungkin akan keluar dari mulut para tetamu. Oleh itu, para pengantin perlu sentiasa memastikan senyuman manis terukir di wajah sepanjang majlis. Bukan sahaja untuk sesi fotografi, bahkan lebih penting lagi untuk memelihara mood majlis tersebut.
Akan tetapi, sebenarnya ada tempat, atau lebih tepat lagi adat, yang melarang pengantin daripada senyum ketika majlis perkahwinannya. Ini termasuklah sebelum, semasa dan selepas majlis.
Pelik bukan? Mesti kita terfikir, apakah justifikasi bagi budaya ini dan bukankah majlis perkahwinan sepatutnya ‘happy happy‘ sahaja?
Perkahwinan adalah komitmen, bukannya perkara yang boleh diambil secara lewa
Bagi penduduk di Kongo, perkahwinan dilihat sebagai satu perkara yang serius dan tidak boleh dibawa main-main. Oleh sebab itu, mereka tidak dibenarkan untuk senyum ketika majlis berlangsung.
Bukan itu sahaja, mereka juga tidak boleh mengukirkan senyuman dalam gambar perkahwinan mereka. Ya, termasuklah gambar yang diambil semasa sesi praperkahwinan serta pascaperkahwinan.

Anda juga tidak akan berpeluang pernah melihat mana-mana pengantin di Kongo tersenyum dalam foto untuk kad jemputan perkahwinan mereka.
Jika anda tersenyum semasa perkahwinan anda, masyarakat di Kongo akan mentafsirnya sebagai satu konotasi yang agak negatif.
Senyuman melambangkan pengantin tersebut tidak begitu serius dalam perkahwinannya dan berkemungkinan akan bertindak bagai melepaskan batok di tepi tangga.
Konotasi ini sangat bertentangan prinsip perkahwinan di Kongo, yang mana mereka melihat hubungan ini sebagai satu komitmen yang besar dan tidak boleh diambil secara acuh tidak acuh.
Melihat dari persepektif lain, budaya ini mengetengahkan realiti perkahwinan yang sebenar iaitu, bersungguh-sungguh ketika menggalas tanggungjawab sebagai suami ataupun isteri.
Walaupun kelihatan aneh, mungkin inilah cara masyarakat di Kongo untuk menghargai satu ikatan perkahwinan dengan mengajar masyarakatnya untuk melihat perkahwinan dari sudut realisme.

Perspektif ini jarang diketengahkan dalam alam perkahwinan kerana hubungan cinta yang dimeterai sering dikaitkan dengan ‘romantisme’ atau dengan erti lain bersifat idealistik.
Kita sering melihat perkara yang indah-indah belaka ketika hari perkahwinan, namun dengan mengenali budaya kaum ini di Kongo, rupanya ada interpretasi berbeza mengenai perkahwinan yang menarik untuk kita pelajari.
Sumber: Opera News