Siakap Keli

KPDN Melalui Food Bank Malaysia (FBM) Sampaikan Bantuan Barangan Makanan & Peralatan Rumah Kepada Mangsa Banjir Kelantan

KOTA BHARU, 5 JANUARI 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyampaikan bantuan barangan makanan dan peralatan rumah kepada mangsa banjir di Pasir Puteh dan Bachok, Kelantan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh berkata, bantuan disalurkan menerusi Program Food Bank Malaysia (PFBM) itu merupakan program penyelarasan KPDN di mana bantuan serupa telah disampaikan kepada pekerja penyelamat Bencana Tanah Runtuh Batang Kali dan mangsa-mangsa banjir yang terjejas di kawasan-kawasan terlibat terutamanya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.

“KPDN menyerahkan sebanyak 1,000 kotak sumbangan barangan makanan dan peralatan rumah kepada Pertubuhan Prihatin Kanak-Kanak Kelantan (KIDS Kelantan) untuk diedarkan kepada sebahagian mangsa banjir di negeri Kelantan bagi meringankan beban yang dialami oleh mereka,” ujarnya.

“Sejak 18 Disember 2022 sehingga kini KPDN telah mengagihkan sumbangan berbentuk makanan (siap masak) dan keperluan diri kepada 2,238 Ketua Isi Rumah (KIR) atau 8,283 mangsa yang terkesan dengan bencana banjir di mana daripada jumlah tersebut, seramai 1,369 KIR atau 4,728 mangsa adalah melibatkan negeri Kelantan,” tambahnya lagi.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Rakan-rakan Strategik Utama (RSU) seperti Yayasan Al-Manjie, Syarikat Legasi Z Sufi, LAZADA dan Syarikat Tamin dengan anggaran nilai keseluruhan bernilai RM70 ribu bagi disalurkan kepada seluruh negeri yang terlibat dengan bencana banjir.

“Dalam kapasiti saya sebagai Timbalan Menteri, saya telah mengambil ikhthiar untuk memohon peruntukan sumbangan dari pihak luar bagi membantu golongan ibu tunggal. Dalam hal ini, saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan di atas sumbangan sebanyak RM10,000 bagi membantu golongan ibu tunggal dan asnaf yang turut terjejas dengan pasca banjir ini,” kata Fuziah.

KPDN turut mengalu-alukan sumbangan dari syarikat-syarikat, organisasi-organisasi dan orang perseorangan bagi menyertai tanggungjawab sosial korporat untuk membantu mereka yang memerlukan, khususnya mangsa bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Program Food Bank Malaysia (SFBM) di talian hotline 03-88825860/6960 atau melalui emel kepada [email protected]

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.