Siakap Keli
Kredit: Pixabay

Amerika Syarikat Luluskan Vaksin Pertama Untuk Lebah Madu

Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) telah meluluskan penggunaan vaksin pertama di dunia untuk melindungi lebah madu daripada penyakit American Foulbrood (AFB).

Memetik laporan BBC, penyakit American Foulbrood merupakan penyakit bakteria yang berpunca daripada larva lebah madu dengan larva Paenibacillus dan boleh melemahkan koloni serta menyebabkan kematian.

Secara khususnya, apabila lebah diserang dengan penyakit American Foulbrood, sarang dan segala peralatan yang telah bersentuhan dengan koloni lebah yang dijangkiti perlu dibakar.

Kesannya, ia boleh mengurangkan populasi lebah madu sekaligus menjejaskan bekalan makanan dunia.

Menurut ketua pegawai eksekutif syarikat bioteknologi Dalan Animal Health, Annette Kleiser, vaksin yang dicipta mampu berfungsi sebagai kejayaan dalam melindungi lebah madu.

Difahamkan, pada mulanya vaksin tersebut akan diberikan kepada lebah melalui makanan ratu lebah yang kemudiannya dimakan oleh lebah ‘pekerja’.

Kemudian, lebah ‘pekerja’ akan memindahkan vaksin tersebut ke dalam ‘jeli diraja’ sebelum diberi kepada ratu lebah.

Seterusnya, vaksin akan disimpan ke dalam larva ratu lebah yang mampu memberikan imuniti kepada larva apabila ia menetas dan mengurangkan kematian yang berpunca daripada penyakit tersebut.

Dalam pada itu, USDA turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa faktor lain yang mampu mengancam kesihatan lebah madu termasuk parasit, perosak, penyakit berbahaya dan fenomena yang dipanggil sebagai Colony Collapse Disorder iaitu fenomena yang berlaku apabila lebah pekerja meninggalkan sarang dan ratu lebah.

Menurut Dalan Animal Health, lebah madu merupakan bahagian penting dalam pertanian kerana ia mampu mendebungakan tanaman yang diperlukan bagi membekalkan sumber bekalan makanan dunia.

“Ini adalah satu langkah ke hadapan yang menarik untuk penternak lebah kerana kami bergantung pada rawatan antibiotik yang mempunyai keberkesanan yang terhad serta memerlukan banyak masa dan tenaga untuk menggunakan sarang kami.

“Jika kita boleh mencegah jangkitan pada sarang, kita boleh mengelakkan rawatan yang mahal dan menumpukan tenaga pada elemen penting yang lain untuk memastikan lebah kita sihat,” jelas ahli lembaga Persatuan Penternak Lebah Negeri California, Trevor Tauzer.

Sementara itu, syarikat bioteknologi berkenaan turut merancang untuk mengedarkan vaksin tersebut secara terhad kepada penternak lebah komersial dan merancang untuk menjual vaksin tersebut di Amerika Syarikat pada tahun ini.

Sumber: BBC, CBS News

Farah Nabilah