Siakap Keli
Kredit: Pixabay

Bukan Setakat Tengok Warna Mata, Ini 6 Cara Pilih Ikan Segar Di Pasar  

Bukan Setakat Tengok Warna Mata, Ini 6 Cara Pilih Ikan Segar Di Pasar  

Setiap manusia pasti sebolehnya mahu memilih makanan yang bersih ketika menjamu selera supaya dapat mengelakkan tubuh daripada terkena sebarang penyakit berbahaya seperti keracunan makanan.

Keracunan makanan merupakan penyakit yang boleh menyebabkan seseorang berasa keletihan apabila terpaksa berulang-alik ke tandas disebabkan perut yang memulas.

Malah, terdapat kes keracunan makanan yang paling teruk pernah dicatatkan apabila ia telah mendatangkan maut kepada sebahagian individu beberapa tahun yang lalu.

Justeru, pemilihan bahan mentah seperti ayam, daging dan ikan perlu dilakukan dengan betul dan teliti untuk mengelakkan hal buruk terjadi.

Bagi pemilihan ikan yang segar, cara yang paling terkenal dalam kalangan ibu-ibu adalah dengan melihat mata ikan tersebut.

Namun, adakah anda tahu selain melihat mata ikan, terdapat banyak lagi cara lain yang boleh digunakan ketika memilih ikan yang segar di pasar?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsian yang dibawakan oleh Hello Doktor mengenai cara untuk memilih ikan yang masih segar di bawah ini.

Ada banyak kaedah atau petua yang boleh kita guna sewaktu memilih ikan segar di pasar. Antara cara yang paling biasa digunakan adalah dengan melihat warna mata ikan. Selain mata ikan, ada 6 lagi cara pilih ikan segar di pasar yang anda boleh praktikkan.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

Kenapa perlu pilih ikan baru?

Siapa sahaja yang tidak mahu ikan baru ketika berada di pasar. Bahkan, jika mahu mencari ikan untuk diberikan kepada kucing di rumah juga memerlukan ikan yang ‘fresh‘.

Ini kerana, ikan yang baru akan bertahan lebih lama di dalam peti sejuk.

Bukan itu sahaja, ikan yang masih baru tidak mengeluarkan bau yang busuk atau terlalu hanyir apabila disimpan.

Apabila kita memasak sesuatu hidangan atau lauk pauk, ikan baru merupakan komponen penting bagi lauk tersebut.

Jika anda memasak ikan yang tidak lagi ‘fresh‘, isi ikan akan mudah pecah dan ia mungkin agak berbau apabila dihidangkan.

Inilah antara kepentingan memilih ikan di pasar yang masih elok dan juga ‘fresh‘.

Cara pilih ikan segar di pasar

Ikan yang diselimuti taburan ais belum tentu boleh menjamin kesegarannya.

Oleh itu, anda jangan mudah terpedaya dengan trick peniaga yang meletakkan ais pada ikan sebagai tanda ikan masih segar.

Guna 7 petua di bawah ini sewaktu anda ingin memilih ikan di pasar.

#1. Lihat warna insang ikan segar

Ikan yang masih baru atau segar mempunyai warna insang merah pekat, seakan-akan warna darahnya.

Insang ikan juga agak basah, tetapi bukanlah terlalu berlendir.

Bagi ikan yang sudah lama, insangnya agak pucat dengan warna kecoklatan atau kehitaman. Insang ikan juga mungkin sudah agak berlendir.

#2. Lihat warna mata ikan

Kredit: Pixabay

Ikan segar mempunyai warna mata yang masih jernih dan menonjol keluar daripada lubang matanya.

Manakala bagi ikan yang sudah lama, matanya berwarna agak merah dan biji matanya agak ke dalam.

#3. Cium bau ikan

Ikan di pasar yang masih baru atau segar masih mempunyai bau air laut.

Ikan yang sudah lama pula tidak lagi mempunyai bau laut, kecuali bau busuk dan hanyir yang agak kuat.

#4. Rasa tekstur ikan

Bagi ikan yang baru sahaja dinaikkan ke jeti, ia mempunyai tekstur badan yang agak pejal dan keras.

Isinya juga masih utuh walaupun dipicit.

Manakala bagi ikan yang sudah tidak segar, isinya agak lembik dan mudah pecah apabila dipicit.

#5. Lihat warna badan ikan

Ikan yang segar mempunyai warna yang masih lagi berkilat atau kelihatan masih baru.

Manakala ikan yang sudah lama mungkin agak kekuningan dan kulitnya juga sudah mula tertanggal.

#6. Sisik ikan segar masih melekat

Kredit: Pixabay

Ikan baru mempunyai sisik yang masih melekat pada badannya.

Namun, jika ikan itu sudah agak lama, kebanyakan sisiknya mungkin sudah tertanggal atau bersepah di sekitar badannya.

#7. Tengok perut ikan

Kredit: Pixabay

Bagi ikan-ikan kecil seperti ikan pelaling, kembung atau selar kuning, anda boleh melihat pada bahagian bawah perutnya.

Ikan yang masih segar mempunyai perut yang masih cantik dan keras.

Manakala untuk ikan yang tidak segar, perutnya mungkin sudah pecah atau seolah-olah hendak pecah.

Ekstra, cara pilih makanan laut segar

Selain ikan, ada juga beberapa teknik yang boleh anda amalkan sewaktu hendak memilih makanan laut lain di pasar.

Antara yang boleh anda perhatikan adalah:

  • Kerang: Untuk mendapatkan kerang segar, sebaiknya pilihlah kerang yang masih hidup. Kerang hidup akan membuka cangkerangnya sedikit dan anda boleh melihat ia bergerak-gerak
  • Udang: Udang segar mempunyai badan yang masih pejal, kulit kepala yang keras, warna yang masih segar dan tiada bintik hitam
  • Ketam: Untuk ketam pula, pilihlah ketam yang masih hidup sama ada ketam nipah atau ketam bunga. Jika sudah mati, lihat pada anggota badannya. Elakkan membeli ketam dengan anggota badan yang sudah patah
  • Sotong: Sotong yang masih segar mempunyai badan yang agak kenyal dan keras. Ia juga tidak mengeluarkan bau hanyir yang terlalu kuat, melainkan hanya bau laut sahaja.

Sumber: Hello Doktor

Farah Nabilah