Bintang Wales, Gareth Bale mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada usia 33 tahun, memetik laporan Eurosport.
Bekas bintang Real Madrid, Tottenham, Southampton, Wales dan Los Angeles FC (LAFC) itu berkongsi mengenainya menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya.
“Selepas membuat pertimbangan yang teliti, saya mengumumkan persaraan serta-merta daripada kelab dan bola sepak antarabangsa.
“Saya berasa bertuah kerana telah merealisasikan impian saya untuk bermain sukan yang saya gemari. Ia benar-benar meninggalkan kenangan yang terbaik dalam hidup saya,” maklumnya dalam kenyataan itu.
Difahamkan, keputusan Bale ini dibuat hanya sebulan selepas dia menjadi kapten Wales pada Piala Dunia pertama mereka dalam tempoh 64 tahun.
“Keputusan saya untuk bersara daripada bola sepak setakat ini adalah yang paling sukar sepanjang karier saya. Perjalanan saya di pentas antarabangsa adalah salah satu yang mengubah bukan sahaja hidup saya tetapi siapa saya yang sebenarnya.
“Untung kerana saya rakyat Wales dan dipilih untuk menjadi kapten Wales yang telah memberikan sesuatu yang tidak dapat saya bandingkan dengan pencapaian saya sebelum ini,” tambahnya.
— Gareth Bale (@GarethBale11) January 9, 2023
Terdahulu Bale menyertai akademi Southampton dan membuat penampilan sulungnya dalam pasukan utama pada usia 16 tahun.
Walaupun perpindahannya ke Tottenham pada 2007 mulanya tidak sesuai ekoran daripada dia tidak pernah menang dalam 24 perlawanan Liga Perdana pertamanya.
Bagaimanapun, prestasi Bale dilihat semakin bertambah baik dan terus berkembang sebagai salah seorang yang mempunyai bakat yang luar biasa di Eropah.
Malah, Bale juga pernah memenangi beberapa anugerah individu selepas musim 2012/13 kerana telah menjaringkan 21 gol untuk Spurs dalam aksi Liga Perdana.
Ekoran daripada prestasinya yang berada pada tahap yang baik, dia telah berpindah ke Real Madrid pada musim panas dengan bayaran rekod dunia sebanyak €100.8m (£85.1m)
Di Real Madrid, dia beraksi bersama Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo yang menjaringkan 106 gol dalam 258 penampilan dan memenangi Liga Juara-Juara sebanyak lima kali serta La Liga sebanyak tiga kali.

Untuk rekod, Bale telah menjaringkan sepakan ‘overhead’ yang menakjubkan pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2018 ketika menentang Liverpool dan menjaringkan gol pada perlawanan akhir menentang Atletico Madrid pada tahun 2014.
Satu lagi kejayaannya apabila menjaringkan gol tunggal sekali gus menyebabkan Barcelona tumpas kepada Madrid dalam piala Copra del Rey pada tahun 2014.
Menurut Eurosport, pada tahun 2020, Bale kembali ke Spurs secara pinjaman sebelum akhirnya meninggalkan Madrid untuk menyertai LAFC pada musim panas lalu.
Dalam masa yang sama, Bale dikatakan tokoh inspirasi di peringkat antarabangsa yang membawa Wales ke separuh akhir pada 2016 dan peringkat kelayakan pada tahun 2020 sebelum memainkan peranan penting dalam memastikan Wales mendapat tempat di Piala Dunia 2022.
Ein Capten. Ein Arwr.
Thank you for everything. Diolch am bopeth. #DiolchBale 🏴♥️ https://t.co/dDV5b26HLh
— Wales 🏴 (@Cymru) January 9, 2023
Sumber: Eurosport