Betul Ke Lepas Cabut Gigi Kena Pantang Makan? Ini Penjelasan Doktor Gigi
Gigi merupakan salah satu anggota yang terdapat di dalam mulut kita selain lidah dan gusi. Seperti yang diketahui gigi berfungsi untuk mengunyah makanan sewaktu dimasukkan ke dalam mulut.
Setiap orang mempunyai semua jenis gigi yang sama namun yang membezakannya hanyalah dari segi bentuk susunan. Gigi kacip, gigi taring dan gigi geraham adalah struktur penting dalam mulut kita.
Hal ini kerana setiap daripadanya memainkan peranan penting untuk menghancurkan makanan menjadi ketulan kecil sebelum masuk ke dalam esofagus dan perut.
Bagaimanapun, sekiranya penjagaan gigi tidak dititikberatkan, ia boleh mengundang kepada sakit gigi malah lebih teruk lagi terpaksa dicabut.
Umumnya, cabut gigi merupakan langkah terakhir sekiranya gigi yang sakit tidak dapat lagi dirawat. Doktor gigi akan memberikan saranan yang terbaik dan menjalankan proses ini dengan alatan yang sesuai.
Sebenarnya terdapat banyak mitos yang tersebar di luar sana sekiranya pesakit yang baru sahaja mencabut gigi, mereka tidak dibenarkan untuk makan makanan-makanan tertentu bagi mengelakkan bekas cabutan dijangkiti atau berdarah.
Oleh itu, mari kita ikuti perkongsian oleh doktor gigi, Dr Mohd Khairul Izwan untuk mengungkap kebenaran disebalik perkara ini.
Perkara Yang Perlu Pantang Selepas Cabut Gigi
“Dr, lepas cabut gigi, kena pantang makan apa-apa ke?”
Selalu sangat saya dapat soalan begini daripada pesakit di klinik.
Baik begini.
Individu yang selesai menjalani rawatan cabutan gigi ataupun pembedahan kecil pergigian boleh sahaja makan semua jenis makanan asalkan beliau tidak mengalami alahan terhadap makanan tersebut.
Telur, sotong, udang dan daging semuanya boleh dimakan dan tidak menyebabkan luka cabutan gigi bernanah atau pun lambat sembuh.
Hanya makanan dan minuman yang panas sahaja yang perlu dielakkan dalam tempoh 24 sehingga 48 jam pertama selepas cabutan gigi dibuat.
Selebihnya semua boleh dimakan.
Makanlah apa sahaja yang anda mahu, yang penting jangan makan kawan sahaja ya
Semoga bermanfaat!
Sumber: Mohd Khairul Izwan via Facebook