Kajian Temui Nyamuk Aedes “Super” & Semakin Kebal, “Fogging” Jadi Kurang Berkesan
Nyamuk-nyamuk yang menyebarkan penyakit seperti denggi dan virus-virus lain di beberapa kawasan Asia dilapor telah berevolusi dan menjadi semakin kebal terhadap racun serangga, menurut satu kajian.
Pihak kesihatan biasanya sering menggunakan kaedah ‘fogging‘ untuk memusnahkan kawasan pembiakan nyamuk, namun tahap keberkesanannya seringkali menjadi topik perdebatan, tetapi kekurangan maklumat mengenai perkara tersebut.
Sehinggalah baru-baru ini apabila seorang saintis dari Jepun, Shinji Kasai bersama pasukannya telah mengkaji nyamuk-nyamuk dari beberapa negara di Asia serta Ghana dan menemui siri mutasi telah menyebabkan nyamuk-nyamuk tersebut mampu bertahan dengan bahan kimia berasaskan piretroid seperti permetrin.
“Di Kemboja, lebih daripada 90 peratus nyamuk jenis Aedes aegypti memiliki kombinasi beberapa mutasi dan menghasilkan daya kekebalan yang sangat tinggi,” kata Kasai kepada AFP.
Dos racun yang tinggi diperlukan bagi membasmi nyamuk ini
Beliau mendapati beberapa jenis nyamuk mempunyai rintangan sehingga 1,000 kali ganda, berbanding 100 kali ganda yang dilihat sebelum ini.
Hal ini bermaksud, tahap racun serangga yang digunakan secara normal bagi membunuh haiwan ini, yang dahulunya mampu membunuh hampir 100 peratus daripada populasi serangga tersebut, kini hanya mampu membunuh kira-kira tujuh peratus sahaja.
Malah, dos yang memiliki kekuatan sepuluh kali ganda pula hanya mampu membunuh 30 peratus nyamuk yang memiliki kekebalan super.
“Tahap kekebalan nyamuk yang kami temui di Kemboja dan Vietnam sangat berbeza,” kata Kasai lagi yang juga merangkap jawatan Pengarah di Jabatan Perubatan Entomologi, Japan’s National Institute of Infectious Diseases.
Ujarnya lagi, kaedah penghapusan baharu atau racun yang lebih kuat perlu dibangunkan, namun pihak berkuasa juga perlu memikirkan kaedah lain untuk melindungi komuniti, seperti vaksin.
Penyelidik juga bimbang nyamuk-nyamuk super yang ditemui di beberapa kawasan Asia ini membiak lebih pantas dan tersebar ke seluruh dunia, sekaligus boleh mengundang masalah yang lebih besar.
Untuk makluman, demam denggi mampu menyebabkan demam berdarah dan menjangkiti kira-kira 100 hingga 400 juta manusia setahun dan 80 peratus daripada kes jangkitan bersifat tidak serius dan tidak bergejala, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Terdahulu, beberapa vaksin denggi telah dibangunkan dan para pengkaji telah menggunakan bakteria yang digunakan untuk mensterilkan nyamuk bagi mengatasi virus tersebut.
Walau bagaimanapun, ia masih bukanlah cara yang terbaik untuk membasmi wabak denggi dan nyamuk Aedes aegypti turut membawa beberapa penyakit lain seperti zika dan demam kuning.
BACA: Anda Asyik Jadi Tumpuan Gigitan Nyamuk? Kajian Ini Dedah Kenapa
Sumber: AFP