Siakap Keli
Kredit: Ocean Sun

Loji Solar Terapung Terbesar Dunia Bakal Dibina Di Laut Utara, Dijangka Beroperasi Menjelang 2026

Loji Solar Terapung Terbesar Dunia Bakal Dibina Di Laut Utara, Dijangka Beroperasi Menjelang 2026

Syarikat tenaga suria Belanda-Norwegia, SolarDuck dilapor sedang bekerjasama dengan syarikat tenaga Jerman RWE untuk membina loji solar terapung di ladang angin Laut Utara.

Memetik laporan BBC, ia akan menjadi loji solar terapung luar pesisir yang terbesar di dunia yang mampu membekalkan tenaga elektrik kepada ratusan rumah menjelang tahun 2026.

Difahamkan, panel solar itu akan dibina di atas platform yang bakal dinaikkan beberapa meter di atas permukaan laut.

Kemudian, loji tersebut akan menggunakan kabel sedia ada untuk ladang angin bagi menghantar semula bekalan elektrik ke pantai.

Dalam pada itu, syarikat tenaga suria yang lain iaitu Ocean Sun telah membangunkan pelantar terapung di mana panel solar akan diletakkan di atas tapak yang melentur apabila ombak melintasi bawah tapak tersebut.

Kredit: Ocean Sun

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Sun, Borge Bjorneklett tindakan yang dilakukan itu mampu melembapkan dan menghalang pemecahan ombak.

Malah, dia turut menambah apabila panel diletakkan dalam keadaan rata, daya yang bertindak ke atas panel tersebut akan berkurangan sekaligus dapat menyejukkan sel apabila ia berada berdekatan dengan air laut.

Kedua-kedua syarikat berkenaan kini sedang meninjau kawasan yang sesuai untuk meletakkan ladang solar bersama turbin angin yang akan melancarkan aliran elektrik apabila tiada angin di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, pensyarah kejuruteraan mekanikal di Universiti Cranfield, Luofeng Huang berkata bahawa kedua-dua pendekatan yang dilakukan mempunyai kelemahan.

Dia turut menambah jika panel solar diangkat di atas permukaan laut, SolarDuck akan menggunakan perbelanjaan yang lebih mahal.

Kredit: SolarDuck

“Jika anda mahu mengangkatnya, anda memerlukan sokongan yang sangat kuat. Jadi, ia hanya akan menelan belanja yang lebih banyak,” katanya.

Pun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif SolarDuck, Koen Burgers membalas kembali kenyataan daripada pensyarah berkenaan.

“Teknologi kami direka khas dengan melibatkan kos tenaga yang kompetitif.

“Kami juga dapat menyesuaikan teknologi kepada keadaan persekitaran tempatan untuk mencari keseimbangan optimum antara prestasi dan kos,” tambah pihaknya.

Bagi sistem yang dilakukan oleh Ocean Sun, Luofeng Huang berkata bahawa dia tidak yakin bahawa pendekatan itu mampu melindungi panel daripada kerosakan gelombang dengan secukupnya.

Walau bagaimanapun, pemilik syarikat Ocean Sun mengakui bahawa sistem syarikat miliknya mungkin tidak bersesuaian untuk Laut Utara dengan ombak sepanjang 9 meter, namun sistem itu pernah terselamat daripada ribut taufan kategori empat semasa ujian dilakukan di dalam takungan.

Selain itu, dia turut berkata walaupun kos pemasangan dan penyelenggaraan ladang suria di lautan akan menjadi tinggi, ia akan menjadi satu-satunya cara untuk membekalkan tenaga boleh diperbaharui di beberapa bahagian dunia yang padat dengan penduduk.

“Sebagai contoh, di Singapura kos tanah adalah sangat tinggi dan mereka telah pun menggunakan sebahagian besar kawasan permukaan atas bumbung mereka.

“Jika mereka boleh menggunakan permukaan lautan di luar Singapura, ia sebenarnya satu cara yang baik untuk membekalkan tenaga boleh diperbaharui dengan harga berpatutan, malah situasi yang sama juga boleh ditemui di bahagian besar Asia Tenggara yang lain,” tambahnya.

Ladang solar juga boleh diletakkan jauh di permukaan laut di mana ia boleh berfungsi sebagai tempat pengisian minyak untuk kapal elektrik.

Sumber: BBC 

Farah Nabilah