Siakap Keli
Kredit: Pixabay

Telinga Budak Masih Sensitif, Mak Ayah Kena Cakna Kriteria Ini Sebelum Beli “Headphone” Untuk Anak

Telinga Budak Masih Sensitif, Mak Ayah Kena Cakna Kriteria Ini Sebelum Beli “Headphone” Untuk Anak

Sudah menjadi kebiasanya ibu bapa moden untuk mendedahkan anak-anak dengan segala teknologi seperti telefon bimbit, tablet, komputer dan sebagainya sejak dari awal lagi.

Gajet yang diberikan pula biasanya mempunyai sambungan internet yang baik dan dilengkapi dengan pelbagai aplikasi hiburan. Menerusi aplikasi tersebut, video-video yang sesuai dengan usianya boleh diakses dengan mudah. Ia sedikit sebanyak dikatakan dapat menghiburkan anak-anak dan pada masa yang sama memberi ruang untuk si ibu dan ayah bernafas seketika, atau menguruskan hal-hal lain.

Bagi anak-anak yang dibangku sekolah pula, gajet yang diberikan juga boleh digunakan untuk tujuan pembelajaran. Banyak video bercorak pendidikan atau biasa disebut sebagau edutainment ditawarkan secara atas talian.

Bagaimanapun, untuk meningkatkan tumpuan ketika menggunakan gajet bagi tujuan pembelajaran, ada ibu bapa yang turut menyediakan sekali set headphone untuk anak-anak mereka. Dengan memakai headphone, suasana senyap akan hadir dan anak-anak tidak terganggu dengan bunyi bising di luar. Mereka boleh menyiapkan tugasan harian sambil mendengar lagu dengan tenang.

Namun begitu, telinga kanak-kanak dikatakan masih sensitif dengan bunyi dan memerlukan set headphone yang spesifik untuk mereka.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Persoalannya, adakah kanak-kanak boleh menggunakan jenis headphone yang sama digunakan oleh orang dewasa? Secara umumnya, headphones kanak-kanak direka dengan menampilkan beberapa ciri bagi menjaga deria pendengaran si cilik untuk jangka masa lama.

The WIRED telah menggariskan beberapa kriteria penting untuk memilih headphone yang mesra kanak-kanak.

Kualiti output boleh diketepikan

Bagi kanak-kanak, ciri-ciri kualiti suara yang dihasilkan tidak perlu diberi perhatian khusus kerana rata-rata kanak-kanak tidak pernah kisah dengan bunyi bass atau sebagainya ketika mendengar lagu atau menonton video.

Untuk anak-kanah di bawah 12 tahun, mereka tidak memerlukan headphone dengan kualiti output bunyi yang terlalu mantap, seperti yang digunakan oleh penggubah lagu atau penyunting video.

Cukuplah headphone yang dipilih mampu memberikan ketenangan kepada mereka dan tidak terganggu dengan bunyi bingit dan audio dari sumber lain ketika mereka menggunakan gajet masing-masing.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Utamakan keselesaan dan tahan lasak

Kanak-kanak cenderung untuk bergerak aktif dan menggunakan headphone dalam jangka masa yang lama. Maka, keselesaan adalah perkara yang sangat mustahak ketika membuat pemilihan.

Headphone yang terlalu ketat pada bahagian kepala mampu memberikan rasa tidak selesa kepada kanak-kanak. Malah, ia juga dikhuatiri memberikan kesan yang tidak baik untuk perkembangan fizikal mereka.

Pergerakan aktif kanak-kanak juga mampu menyebabkan jangka hayat headphone tidak tahan lama. Jadi, pilihlah headphone dengan kualiti binaan yang kukuh dan diyakini tidak mudah rosak sekiranya terjatuh, dilempar atau dipijak.

Pilih headphone yang memiliki ciri Output Limitation

Kebanyakan headphone memiliki fitur pengehadan kekuatan bunyi atau ‘volume output limitation’,  yang mana dapat mengurangkan kekuatan suara sehingga ke paras 85 desibel.

Menurut Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA), 85 desibel merupakan had kekuatan volume suara yang boleh didedahkan ditempat kerja. 85 desibel adalah sama dengan kekuatan bunyi bingit yang biasa anda dengar ketika berada dalam kesesakan trafik.

Jadi, had tersebut boleh disifatkan masih terlalu tinggi dan wajar dikurangkan demi menjaga deria pendengaran anak anda.

Situasi ini juga sama bagi kanak-kanak yang memakai headphone yang menampilkan fitur ‘volume output limitation’ . Sebagai ibu bapa, anda perlu memeriksa kekuatan volume suara yang mampu dihasilkan oleh headphone yang dipakai anak-anak.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Caranya mudah sahaja, anda cuma perlu berkomunikasi dengan anak-anak ketika mereka menggunakan headphone tersebut. Sekiranya tiada sebarang respon, maka anda perlu mengambil tindakan untuk memperlahankan volume audio sehingga mereka dapat mendengari suara anda.

Itu sahaja. Semoga bermanfaat.

BACA: Kenapa Penyanyi Pakai ‘Headphone’ Ketika Buat Rakaman Lagu? Ini Sebabnya

Sumber: The Wired

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma