Ketahui Apa Itu Petrichor, Aroma Istimewa Dapat Dihidu Ketika Hujan
Kebiasaannya, musim hujan atau dikenali sebagai musim tengkujuh berlaku di negara ini pada akhir tahun akibat pembawaan angin monsun.
Bagaimanapun, ketika hujan turun muncul sejenis bauan yang memikat hidung kita.
Tambahan lagi, ramai di antara kita sanggup untuk keluar setelah hujan reda hanya untuk menghirup bauan segar.
Tahukah anda, sebenarnya bau misteri yang meruap ke ruang udara ini dikenali sebagai Petrichor.
Apa Itu Petrichor

Bauan yang timbul semasa hujan adalah disebabkan air hujan yang menyerap ke dalam tanah sehingga meruap ke udara. Proses ini dikenali sebagai petrichor.
Perkataan petrichor membawa maksud tersendiri dengan ‘petr‘ merujuk kepada batu manakala ‘ichor‘ pula bermaksud merujuk kepada intipati yang lemah.
Tindak balas yang menghasilkan petrichor berlaku apabila bakteria yang tinggal di tanah actinomycetes terbebas ke udara. Oleh itu, gabungan sebatian aromatik itu menghasilkan bau petrichor yang menyenangkan apabila hujan turun.
Mikroorganisma ini menjalankan proses penguraian bahan organik yang telah mati atau reput sehingga menjadi bahan kimia sebelum menjadi nutrien atau baja kepada tumbuh-tumbuhan dan organisma lain.
Hasil daripada proses tersebut, ia juga mengeluarkan sebatian organik yang dipanggil geosmin (sumber bau petrichor).
Geosmin merupakan sejenis alkohol seperti minyak sapu (alkohol). Oleh itu, ia cenderung mempunyai bau kuat terutamanya selepas hujan reda.

Menurut Live Science, sumber bau yang menyenangkan sewaktu hujan juga disebabkan faktor jenis flora di rantau tersebut. Sesetengah tumbuhan merembeskan minyak sewaktu musim panas dan membebaskan ke udara menjelang hujan.
Difahamkan proses ini mula didokumentasikan oleh seorang saintis dari Australia bermula pada tahun 1964 dalam jurnal Nature of Argillaceous Odoursebelum dan kemudiannya saintis dari Institusi Teknologi Massachusetts melakukan kajian tentang proses mekanik petrichor pada 2010.
Kedua-dua saintis tersebut melakukan kajian di India dan mendapati bau khusus yang dikeluarkan apabila tanah kering bercampur dengan titisan air hujan.
Bagaimana Proses Ini Terbentuk
Ketika hujan membasahi tanah yang kering, ia mengeluarkan zarah-zarah kecil yang dipanggil aerosol.
Campuran air hujan dengan geosmin dan sebatian petrichor yang terdapat pada tanah akan dibawa oleh angin sebelum meruap ke ruang udara di persekitarannya.
Sebaliknya, jika musim panas atau kemarau melanda, kadar proses penguraian menjadi perlahan.
Apabila udara dan tanah menjadi lembap ia secara tidak langsung akan mempercepatkan proses actinomycetes dan lebih banyak geosmin terbentuk.
Bagaimanapun, bauan tersebut akan kembali hilang selepas tanah mulai kering.
Sumber: Live Science, Earth Sky