Aksi pelari perempuan yang sedang fokus berlari di atas trek ketika acara larian di stadium bertukar kecoh apabila dia dikejar anjing yang muncul secara tiba-tiba.
Sudah pasti hari sukan merupakan hari yang anda tunggu-tunggu sewaktu zaman belajar dahulu, tidak kiralah sama ada ketika di sekolah rendah, menengah mahupun di universiti. Ketika itulah anda dapat saksikan semangat kesukanan yang tidak pernah dilihat sebelum ini, orang yang tidak pernah menjadi kawan sebelumnya tiba-tiba bagaikan isi dengan kuku, tidak dapat dipisahkan (dalam ‘team’ bersama).
Orang yang tidak pernah ditegur sebelumnya, tiba-tiba menjadi ramah seolah-olah sudah lama berkenalan. Lebih menarik lagi, ketika hari sukan inilah kita melihat semangat yang tinggi diperjuangkan oleh atlet-atlet yang bertanding untuk mencapai kemenangan.
Tidak dapat dinafikan dengan bersukan, hubungan dalam sesebuah organisasi akan mampu dieratkan begitu juga di tempat lain. Misalnya perlawanan bola sepak AFF Mitsubishi Electric Cup baru-baru ini. Dapat dilihat, rakyat Malaysia menunjukkan semangat juang yang kuat dan bersatu padu dalam menyokong Harimau Malaya.
Walaupun skuad negara tidak dapat melangkah ke peringkat akhir, namun rata-rata rakyat Malaysia mengatakan bahawa kekalahan mereka adalah satu kejayaan yang baharu kerana mampu melayakkan diri sehingga ke peringkat separuh akhir.

Sebenarnya dalam perkongsian kali ini, anda tidak akan dihidangkan dengan sukan bola sepak. Jadi, ingin mengetahui dengan lebih lanjut, sila ikuti perkongsian ini untuk hiburan anda semua.
Dalam perkongsian @shfq.emyra baru-baru ini, ia menunjukkan seorang pelari perempuan yang dikejar oleh seekor anjing ketika ingin menyelesaikan lariannya di trek dalam satu acara larian.
Difahamkan kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa acara lumba lari yang berlangsung di Kompleks Sukan Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
Melihat rakaman video tular tersebut, pada awalnya semuanya terjadi seperti biasa iaitu setiap pelari masing-masing berlari dalam haluannya di trek.
Namun suasana tenang bertukar kecoh apabila seekor anjing berwarna hitam tiba-tiba muncul dari tepi stadium dan menuju masuk ke arah trek larian.
Anjing tersebut dilihat mula muncul di bahagian tempat duduk dan berlari melintasi padang sebelum bertindak mengejar salah seorang pelari tersebut.
Bukan setakat dikejar anjing, malah aksi seorang lelaki yang ingin menghalang anjing tersebut daripada terus mengejar pelari perempuan itu turut mencuit hati warganet.
Hal ini kerana ketika ingin menyepak anjing itu, lelaki tersebut tergelincir di atas trek. Baru sahaja berlagak mahu menjadi hero tetapi malang sungguh tidak berbau, dia pula tergolek di situ.
Rakaman mencemaskan itu tular di media sosial dan meraih perhatian ramai sehingga mendapat 538,800 jumlah tontonan, 59,000 tanda suka dan 1,246 komen setakat artikel ini ditulis.
The real “Kau lari saja laju-laju, bayangkan ada anjing kejar kau’
Tidak hanya itu, rata-rata warganet meninggalkan komen yang dikaitkan dengan ‘kata-kata’ yang sering dilemparkan oleh para guru sewaktu sukan.
“Anggap saja macam kena kejar dengan anjing,” antara komen yang ditinggalkan.
Malah, warganet juga turut terhibur dengan gelagat anjing yang tiba-tiba muncul di kawasan trek dan bertindak untuk mengejar salah seorang pelari perempuan.
Ada juga komen yang ditinggalkan berkenaan lirik lagu yang berlegar-legar di laman TikTok pada ketika ini.
“Semakin kukejar, semakin kau jauh…” komen individu tersebut.


Berikut video dilampirkan untuk tontonan umum:
@shfq.emyra Tengok sampai habis , HAHAHAHAHA
Sumber: @shfq.emyra | Tiktok