Siakap Keli
polis indonesia guna dron
Kredit: Diana Măceşanu/Unsplash

Dron Bakal Digunakan Polis Indonesia Tangkap Pesalah Trafik

Polis Indonesia bakal menggunakan teknologi dron untuk pemantauan lalu lintas dari ruang udara termasuk mengeluarkan saman secara elektronik, lapor Detik.com.

Difahamkan, peranti dron itu telah melakukan beberapa sesi pengujian sebelum digunakan secara efisien pada waktu yang ditetapkan.

Menurut Ketua Pengarah Polis Trafik, Aan Suhanan, kaedah penggunaan sistem teknologi dron telah dikaji dalam masa jangka panjang dan juga diteliti dengan baik.

Beliau turut mengharapkan agar peranti itu menjadi salah satu alatan sokongan kepada polis dalam membuat pemantauan atau rondaan kepada pesalah trafik.

“Pihak kami sedang mengkaji, menguji dan menilai cadangan yang akan mewujudkan sokongan ke atas rondaan kami, memantau aliran lalu lintas menggunakan pesawat tanpa pemandu,” katanya menerangkan mengenai peranti itu.

Pada mulanya, Aan berkata dron itu hanya berfungsi sebagai alat pemantauan lalu lintas.

Sebagai contoh sekiranya terdapat kawasan yang mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk, kamera dron akan mengambil gambar keadaan kemudian hasil gambar itu akan dihantar ke pusat arahan untuk tindakan selanjutnya.

“Contohnya, apabila berlaku kesesakan, kita boleh membuat rondaan hingga ke penghujung kesesakan.

“Supaya bantuan melalui pesawat tanpa pemandu ini akan menghantarnya ke pusat kawalan kita, dari situ akan ada arahan terus kepada anggota dalam padang secara langsung membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau turut mengesahkan peranti dron itu akan digunakan untuk membanteras pelanggar lalu lintas.

Cara kerjanya juga lebih kurang sama iaitu menyasarkan pesalah trafik melalui kamera dan keputusan kemudiannya akan dihantar ke pusat maklumat yang sedia ada.

“Ini kita akan bangunkan dengan Penguatkuasaan Undang-Undang Trafik Elektronik (ETLE) berdasarkan dron. Menggunakan kamera yang sepadan dengan spesifikasi, kita boleh tangkap plat lesen, boleh tangkap sebarang pelanggaran termasuk had laju,” tambah Aan lagi.

Dron itu dicipta untuk juruukur dan juga pemantauan. Peranti canggih tersebut dilengkapi bateri yang mampu bertahan selama tiga jam dan lensa kamera didakwa mampu menangkap dengan jelas 40 hingga 80 kali ganda berbanding kamera biasa.

Teknologi dron itu direka dengan mudah namun masih meletakkan keselamatan sebagai keutamaan. Peranti ini juga dilengkapi dengan payung terjun khas, supaya jika terdapat gangguan isyarat dan bateri lemah, ia akan kembali ke lokasi selepas berlepas secara automatik.

Sumber: Detik.com

BACA: Dron Korea Utara Lintasi Ruang Udara, Korea Selatan Dilapor Lepaskan Tembakan Amaran

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana