Seorang ibu dan anak dilapor meninggal dunia secara tragis selepas sebuah kereta berjenama Audi melanggar lampu isyarat dan merempuh mereka di laluan pejalan kaki dalam kejadian yang berlaku pada Isnin di Leeds, England.
Kereta tersebut dipercayai telah merempuh pagar bangunan yang berhampiran dan disebabkan itu, perkhidmatan kecemasan telah bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima laporan sekitar jam 8:30 pagi.
Sementara itu, jurucakap Polis West Yorkshire mengesahkan bahawa mangsa adalah ibu dan anak yang ditemui ‘tidak bertindak balas’ di tempat berjalan kaki (lokasi kejadian).
Tambahnya lagi, kedua-dua mangsa telah dilanggar sebelum kereta tersebut merempuh pagar luar bangunan dan disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Bagaimanapun, pemandu Audi yang merupakan seorang lelaki dikatakan mengalami kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa. Justeru, dia telah dibawa ke hospital dan ditahan.
Menurut jurucakap polis, Inspektor Paul Conroy daripada Pasukan Siasatan Perlanggaran Utama berkata, “Ini adalah kejadian yang benar-benar tragis dan kami sedang berusaha untuk menjejaki keluarga mangsa yang terlibat.
“Kami sudah bercakap dengan beberapa saksi malah kami berminat untuk bercakap dengan sesiapa sahaja yang menyaksikan rempuhan itu atau faktor yang membawa kepada kemalangan itu daripada berlaku,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya akan meminta rakaman “dashcam” daripada sesiapa yang melalui kawasan kejadian tersebut.
Disebabkan itu, jalan utama kekal ditutup pada petang Isnin kerana siasatan berhubung perlanggaran masih dijalankan.

Saksi kejadian
Menurut The Mirror, mangsa (ibu) pada asalnya sedang dalam perjalanan membawa anaknya ke hospital semasa kejadian berlaku.
Saksi mendakwa bahawa suspek telah memandu sejauh 200 ela sebelum bertembung dengan laluan pejalan kaki yang menyebabkan keretanya terhempas ke pagar bangunan pusat jualan kereta di situ.
Tambah saksi kejadian, suspek melanggar dengan sangat kuat sehingga menyebabkan salah seorang daripada mangsa melayang setinggi 70 kaki dan mendarat di antara Land Rover yang merupakan antara kereta yang dijual.
Disebabkan itu, kakitangan jualan (bangunan pusat jualan kereta) berlari keluar untuk menyaksikan kejadian yang berlaku.
Manakala, seorang tukang tayar yang bekerja berkata, “Saya mendengar Audi TT semakin dipandu laju ketika ingin melewati lampu isyarat merah.
“Seluruh bahagian depan Audi itu musnah. Ibu dan anak itu adalah pejalan kaki yang melintas,” katanya.
Seorang lagi saksi kejadian menambah, “Saya rasa kanak-kanak itu berumur kira-kira empat tahun.
Sumber: The Mirror