Siakap Keli
Kredit: Maritm Malaysia

Ibarat Dalam Filem, Mangsa Bot Terkandas Dedah Pahit Getir Berenang Dua Hari Balik Ke Pantai

Ibarat Dalam Filem, Mangsa Bot Terkandas Dedah Pahit Getir Berenang Dua Hari Balik Ke Pantai

Berpantang maut sebelum ajal, dua pemancing tekad untuk berenang selama dua hari bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas bot mereka terkandas pada batuan dalam satu kejadian di Pulau Tioman, Isnin lalu.

Kedua-dua mangsa, Zulfahmey Izzudin Gan Abdullah (45) dan Chia Swee Kwong (49) berjaya menjejakkan kaki di pantai Teluk Juara,  Pulau Tioman kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Salah seorang mangsa, Zulfahmey ketika berkongsi detik cemas itu berkata,walaupun beberapa kali mengalami kekejangan ketika berenang, mereka berdua tidak putus asa untuk menyelamat diri.

Katanya, mereka tidak putus-putus berdoa dan selalu memikirkan tentang keluarga sebagai cara membangkitkan semangat untuk menyelamatkan diri.

“Ketika alami kekejangan saya tidak panik, sebaliknya cuba bertenang untuk membuat renangan sehingga berjaya sampai ke pantai.

“Pada saat getir seperti ini saya menggunakan semua kemahiran dan pengalaman ketika menjalani latihan di air ketika berkhidmat dalam FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) dulu,” katanya.

Mengimbas semula kejadian tersebut, Zulfahmey berkata, mereka berdua keluar memancing di unjam (daun-daun kelapa yang diikat dengan rotan yang diletak dalam laut untuk tarik ikan berkumpul) yang terletak berdekatan dengan pulau tersebut kira-kira 4.00 petang, Isnin lalu.

Namun, ketika perjalanan pulang, bot yang dinaiki mereka telah kehabisan minyak dan terkandas di perairan Pulau Tioman.

“Bila enjin bot mati, bot kami hanyut. Kami kemudian mengambil keputusan untuk berlabuh memandangkan hari sudah gelap dan jarak bot dengan pulau ketika itu kira-kira 100 meter.

“Namun kira-kira jam 4 pagi, rantai sauh terputus menyebabkan bot kami dipukul ombak sebelum tersadai pada batuan pulau Tioman,” jelasnya lagi.

Pelbagai liku yang perlu dihadapi sebelum dapat kembali ke daratan

Lelaki tersebut berkata, angkara bot yang terkandas itu, mereka berdua terpaksa memanjat tebing batu dengan ketinggian kira-kira dua meter demi menyelamatkan diri.

Walau bagaimanapun, usaha tersebut tidak membuahkan hasil apabila mereka gagal mencari laluan keluar melalui hutan.

Disebabkan mereka berada dalam keadaan yang terdesak, dengan ketiadaan keperluan asas kehidupan seperti bekalan makanan dan minuman serta isyarat telefon lemah di kawasan tersebut, mereka nekad untuk berenang daripada menunggu diselamatkan.

“Kami mula berenang pada jam 1 petang Selasa dengan menggunakan jaket keselamatan dan pelampung hanyut yang dikutip di kawasan berkenaan.

“Kami terpaksa berenang jauh daripada tebing berikutan ketika itu ombak dan angin kuat manakala kedalaman air pula kira-kira 10 meter,” jelasnya.

Zulfahmey berkata, pada hari pertama, mereka berdua berjaya berenang merentasi tiga teluk dan kembali semula ke tebing batu kira-kira jam 6 petang kerana tidak mahu mengambil risiko untuk berenang pada waktu malam.

Tambahnya, ketika berada di tebing batu tersebut, mereka ada melihat kelibat sebuah bot nelayan melalui lokasi tersebut dan berusaha meminta pertolongan dengan meniup wisel dan melambaikan jaket keselamatan.

Namun, isyarat yang diberikan oleh mereka gagal diterima oleh orang-orang yang berada di dalam bot nelayan tersebut.

“Pada hari kedua, rakan saya (Swee Kwong) sudah hampir putus asa kerana terlalu penat dan kelaparan, tetapi selepas diberikan semangat, dia setuju untuk berenang semula.

“Kami mengutip tiga biji pelampung di lokasi berkenaan memandangkan pelampung yang digunakan sebelum itu sudah hanyut sebelum mula berenang kira-kira jam 9 pagi.

“Walaupun penat dan mengalami kekejangan, akhirnya kami berdua berjaya sampai ke Pantai Teluk Juara selepas enam jam berenang pada hari itu,” kenyataan Zulfahmey yang mengakhiri detik-detik cemasnya selama dua hari.

Sumber: Sinar Harian

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.