Siakap Keli
Boleh Ke Bergambar Dengan Berlainan Jantina
Gambar: Pixabay

Boleh Ke Bergambar Dengan Berlainan Jantina? Ini Penjelasan Mufti WP

Boleh Ke Bergambar Dengan Berlainan Jantina? Ini Penjelasan Mufti WP

Setiap aktiviti yang dilaksanakan meninggalkan kenangan atau kesan yang mendalam kepada seseorang. Perkara ini juga tidak terkecuali sama ada lelaki mahupun perempuan.

Bagi mengingati sesuatu momen atau peristiwa tertentu, kebiasaannya kita akan mengambil dan menyimpan gambar pada masa mendatang. Tambahan lagi, gambar kini boleh diambil daripada pelbagai jenis gajet seperti kamera, telefon pintar, komputer riba dan sebagainya.

Trend berswafoto (selfie) atau bergambar secara berkumpulan kini semakin menarik minat di hati masyarakat. Kebiasaannya gambar yang diambil bersama turut menyebabkan berlaku percampuran antara jantina berlainan.

Sebagai seorang yang beragama Islam, perkara seperti ini boleh menimbulkan persepsi orang ramai dalam penjagaan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai topik ini, mari kita ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah. Semoga bermanfaat.

Hukum Bergambar Dengan Berlainan Jantina

Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

SOALAN                    

Assalammualaikum, Adakah dibolehkan kita mengambil gambar berdua-berduaan dengan bukan mahram di tempat awam dan gambar difokuskan gambar berdua sahaja?  Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Percampuran berlainan jantina tidak dibenarkan melainkan keperluan urusan muamalat sesama manusia selagi tidak menimbulkan fitnah di samping menjaga batas-batas pergaulan yang telah digariskan oleh syariat. 

Oleh yang demikian, mengambil gambar berdua-duaan berlainan  jantina bukan pada kadar keperluan dan menimbulkan fitnah adalah tidak dibenarkan oleh syarak. 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Asasnya, perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah dilarang melainkan ditemani mahramnya. Ini berdasarkan riwayat Saidina Abdullah bin Abbas RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:        

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan perempuan itu ditemani oleh mahramnya.

Riwayat Muslim (1341)

Percampuran antara lelaki dan wanita (إختلاط) hanya dibenarkan pada keadaan – keadaan tertentu seperti urusan darurat, keperluan, maslahat dalam menjalankan urusan dan kebiasaan harian[1]

Berikut adalah perincian urusan darurat dan keperluan:

  1. Urusan Darurat

Imam al-Nawawi menyatakan pengharaman khalwat lelaki dan wanita termasuk juga dalam bab berdua-dua menunaikan solat. Namun pengecualian bagi kes-kes dalam keadaan darurat seperti terjumpa wanita ajnabi yang tersesat di jalanan dan boleh menemaninya atas dasar keselamatan sekiranya wanita takut ditinggalkan.  [2]

  1. Urusan keperluan

Urusan keperluan melibatkan muamalat sesama manusia berkaitan kemasyarakatan seperti urusan jual beli, penyaksian, urusan kerja, politik, urusan menuntut ilmu, jihad dan keperluan urusan seharian lain.[3] 

Sementara itu, harus melihat ajnabi dalam urusan jual beli, mengambil dan memberi sesuatu barangan dan seumpamanya[4]  

Urusan bermuamalat dengan berlainan jantina mestilah tertakluk dengan nilai-nilai adab dan hukum hakam berkaitan pakaian yang menutup aurat, menjaga pandangan yang bebas syahwat serta tidak melunakkan suara dengan manja (semasa bercakap dengan lelaki asing).[5]

Syeikh Abdul Hamid al-Syarawani menyebutkan bahawa garis penentuan pergaulan antara lelaki dan wanita yang diharamkan berdasarkan situasi yang mengundang fitnah:

أَنَّ الْمَدَارَ فِي الْخَلْوَةِ عَلَى اجْتِمَاعٍ لَا تُؤْمَنُ مَعَهُ الرِّيبَةُ عَادَةً، بِخِلَافِ مَا لَوْ قُطِعَ بِانْتِفَائِهَا فِي الْعَادَةِ فَلَا يُعَدُّ خَلْوَةً

Maksudnya : “Sesungguhnya garis penentuan khalwat (yang dilarang) ialah ke atas perhimpunan antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram yang tidak selamat daripada sebarang tohmah (fitnah dan syak wasangka) pada adat kebiasaannya, berbeza pula apabila dapat dipastikan perhimpunan (pertemuan) tersebut selamat daripada sebarang tohmah pada adat kebiasaannya, maka ia tidak termasuk dalam kategori khalwat (yang dilarang).”[6]

Kesimpulannya, berdua-duan mengambil gambar dengan ajnabi yang berlainan jantina tanpa keperluan sehingga menimbulkan fitnah adalah dilarangSementara itu, pergaulan antara lelaki dan perempuan termasuklah juga mengambil gambar hanya dibenarkan pada urusan keperluan dan jauh daripada fitnah di samping menjaga batas-batas pergaulan yang telah digariskan oleh syariat.

Wallahu A’lam

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

BACA JUGA: Mufti Perjelas Cara ‘Menahan’ Diri Daripada Perasaan Terlalu Kagum Dengan Diri Sendiri

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?