PM Jepun Luah Kegusaran, Mahu Segera Tangani Krisis Kadar Kelahiran Rendah
TOKYO — Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dalam satu kenyataan semalam berjanji akan segera menangani isu kadar kelahiran yang rendah dan penduduk yang semakin tua yang dilihat berisiko kepada masyarakat di negara itu, lapor AFP.
Dalam pengumuman tersebut, beliau berkata bakal menubuhkan agensi kerajaan yang baharu bagi menangani isu ini.
Tambah Kishida, kebanyakan negara maju menunjukkan kadar penurunan kelahiran dan kini Jepun sedang berdepan dengan masalah yang sama.
Menurut data daripada Bank Negara, Jepun merupakan negara kedua tertinggi mempunyai jumlah populasi berumur 65 tahun ke atas selepas Monaco.
“Mengikut anggaran, jumlah kelahiran menurun sehingga di bawah 800,000 tahun lepas. Kini Jepun berada di ambang kemusnahan sebagai masyarakat namun perkara itu masih boleh ditangani.
“Kita perlu memberikan perhatian kepada dasar mengenai kanak-kanak dan penjagaan kanak-kanak merupakan isu yang tidak boleh ditunggu dan ditangguhkan lagi,” katanya sewaktu sesi parlimen baharu.
Sehubungan itu, Jepun bakal melancarkan “Dasar Kanak-Kanak” dan “Keluarga Baharu” pada April bagi menyokong ibu bapa dan memastikan kemampanan negara ekonomi ketiga terbesar dunia itu.
Maklumnya lagi, kerajaan akan menggandakan perbelanjaan untuk program berkaitan kanak-kanak.
“Kita mesti membina ekonomi sosial yang mengutamakan kanak-kanak untuk melonjakkan semula kadar kelahiran yang rendah,” jelasnya.
Negara matahari terbit itu mempunyai 125 juta populasi penduduk dan telah lama bergelut dengan masalah itu lebih-lebih lagi golongan tua semakin meningkat.
Kadar kelahiran yang semakin rendah di Jepun turut didorong oleh faktor peningkatan kos sara hidup, penglibatan golongan wanita dalam sektor tenaga kerja dan perancangan keluarga.
Sementara itu, hasil data rasmi yang diperolehi pada minggu lalu juga mendedahkan populasi di China menurun pada tahun 2022 buat kali pertama dalam tempoh lebih enam dekad.
Sumber: AFP
BACA JUGA: Pertumbuhan Penduduk China Terus Menurun Ke Paras Terendah Dalam Enam Dekad