Siakap Keli
Gambar: Douyin

Polis Thai Siasat Anggotanya, Didakwa “Escort” Berbayar Pelancong China Ke Hotel, Siap Buka Siren

Polis Thai Siasat Anggota Yang Disyaki Beri Khidmat Khas, Iring Pelancong China

Polis Diraja Thailand sedang menyiasat tiga anggotanya yang didakwa memberikan perkhidmatan iringan kepada pelancong China yang tular baru-baru ini.

Menurut The Nation, kejadian berkenaan dipercayai melibatkan dua anggota polis peronda dan seorang polis pelancong. Dua polis peronda tersebut kini dipindahkan ke bahagian kawalan trafik buat sementara waktu.

Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Damrongsak Kittiprapas juga mengarahkan siasatan dijalankan dengan telus dan menyeluruh memandangkan insiden tersebut telah menimbulkan kemarahan orang ramai.

Beliau juga mengingatkan semua anggotanya supaya menjaga disiplin dan tidak mengulangi tindakan tersebut atau bakal berdepan dengan hukuman berat.

Terdahulu, seorang pelancong China telah memuat naik satu video di TikTok yang mendakwa menggunakan perkhidmatan iringan khas berbayar daripada tiga anggota polis tersebut.

Pelancong itu mendakwa bahawa sejurus tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, dia diberikan laluan pantas pemeriksaan imigresen sebelum diiringi ke hotel penginapan yang terletak di Pataya.

Katanya, perjalanan ke hotel tersebut hanya mengambil masa selama satu jam, berbanding sepatutnya tiga jam dengan mengambil kira situasi trafik ketika itu.

Menurutnya lagi, perjalanan itu berjalan lancar kerana diiringi oleh anggota polis yang memasang siren dan hanya perlu membayar 7000 Baht (RM 916) untuk perkhidmatan tersebut.

Sebaik video berkenaan menjadi tular, ia pantas mendapat respon daripada warga Thailand yang mahukan penjelasan daripada pihak berkuasa berhubung perkhidmatan istimewa yang diberikan itu.

BACA: Trafik Lebuh Raya Utama Negara Dijangka Sesak Mulai Tengah Hari

Sumber: The Nation

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.