Kira-kira 20 orang petani di Argentina bersepakat menghasilkan potret gergasi pemain bola sepak terkenal dunia, Lionel Messi di ladang jagung mereka di Los Cóndores sebagai tanda penghormatan, memetik laporan Oddity Central.
Imbas kembali, nama Messi yang sedia maklum sudah dikenali sebagai salah seorang pemain bola sepak terkenal di dunia sekali lagi disebut-sebut selepas beliau berjaya membawa Argentina menjuarai Piala Dunia 2020 di Qatar tahun lepas.
Justeru, kemenangan bersejarah itu sekali gus mendorong pemain tersebut menjadi semakin popular di mata dunia dan di negaranya sendiri sehingga berbagai-bagai perkara menakjubkan dibuat oleh peminat fanatiknya sendiri.
Demikianlah seperti yang berlaku di Córdoba baru-baru ini apabila kira-kira 20 orang petani di negara itu bersepakat menghasilkan potret gergasi wajah Messi di ladang jagung mereka sebelum Piala Dunia di Qatar berlangsung.
Difahamkan seperti yang dilapor El Pais, potret gergasi itu dihasilkan melalui kaedah pengekodan dan algoritma menerusi jentera ladang yang dikendalikan mereka dan ia adalah cetusan idea jurutera pertanian, Carlos Faricelli.

Carlos Faricelli memaklumkan, kod tersebut ‘dimasukkan’ ke dalam (setting) jentera yang menyemai benih yang membolehkan mereka menanamnya dalam corak tepat untuk menghasilkan imej wajah Messi di kawasan tertentu.
“Saya mempunyai idea untuk membuat kod yang sesuai dengan menyemai wajah Messi di ladang jagung sebagai penghormatan,” katanya, memetik Oddity Central.
Difahamkan, berpandukan alat pengekodan geo, jentera itu ‘sudah tahu’ berapa banyak benih yang perlu disemai bagi setiap meter persegi bagi mencipta efek ‘contrast’ antara bahagian berbeza pada wajah Messi.
Tambahnya, dia membuka peluang kepada mana-mana petani yang berani menggunakannya (kod) dalam menjayakan projeknya itu dan akhirnya, lebih daripada 20 orang petani dari wilayah yang berbeza menyertainya.
“Kami mengambil risiko kerana ‘melukis’ potret Messi di tengah-tengah kemarau (ketika itu).
“Tetapi, sekurang-kurangnya, peluh kami membuahkan hasil kerana potret ikonik Messi mula tumbuh secara literal sebagai jagung,” katanya.
Malah, jurutera pertanian itu turut merakamkan ‘terima kasih’ kepada jentera khasnya yang berfungsi mengawal benih jagung untuk setiap meter persegi yang diperlukan bagi menghasilkan efek ‘contrast’ pada wajah Messi.
“Jadi, rakaman udara diambil untuk melihat pertumbuhan jagung dengan lebih jelas dan ternyata jagung tumbuh lebih rapat sehingga menyebabkan tanah tidak kelihatan,” katanya.
Malah, hasilnya dapat dilihat dengan jelas, di mana warna ‘contrast’ bagi potret itu berlaku (seperti yang diingini). Maka secara tidak langsung penggunaan seni dalam pertanian seperti itu dapat dicipta.
Sumber: Oddity Central / El-Pais