Pihak Berkuasa Australia Cemas, Kapsul Kecil Berisi Bahan Radioaktif Merbahaya Tercicir Ketika “Delivery”
Kapsul perak mengandungi bahan radioaktif sebesar 8mm yang lebih kecil daripada duit syiling dilaporkan hilang di suatu kawasan di sepanjang lebuh raya padang pasir yang luas di Australia, lapor CNN.
Syarikat perlombongan Rio Tinto mengeluarkan permohonan maaf pada hari Isnin lalu mengatakan ia akan menyokong usaha kerajaan negeri untuk mencari kapsul itu.
Kapsul tersebut mengandungi Caesium-137, sejenis bahan radioaktif tinggi yang digunakan dalam peralatan perlombongan.
Rio Tinto berkata pihaknya telah memeriksa semua jalan keluar dan masuk dari tapak lombong di Gudai-Darri di sebuah kawasan terpencil utara Australia Barat, di mana peranti itu berada sebelum kontraktor mengambilnya untuk perjalanan ke Perth.

Pihak berkuasa percaya bahawa kapsul yang memancarkan sinar gamma dan beta telah jatuh dari belakang sebuah trak yang dalam perjalanan sejauh 1,400 kilometer di Lebuhraya Besar Utara yang jaraknya lebih panjang daripada garis pantai California.
Oleh kerana saiz kapsul yang kecil dan jarak pencarian yang besar, pihak berkuasa memberi amaran bahawa peluang untuk menemuinya adalah tipis.
Terdapat juga kebimbangan bahawa ia mungkin telah dibawa lebih jauh dari zon pencarian. Ia juga boleh mewujudkan risiko kesihatan radioaktif bagi sesiapa yang menjumpainya malah berpotensi untuk memberi kesan sehingga 300 tahun akan datang.
Pihak berkuasa negeri telah memberikan amaran pada hari Jumaat kepada penduduk tentang kapsul radioaktif yang hilang di kawasan selatan negeri itu, termasuk di pinggir laut Perth yang menempatkan kira-kira 2 juta orang.

Menurut pihak berkuasa, kapsul itu diletakkan di dalam bungkusan pada 10 Januari dan dibawa keluar dari tapak lombong Gudai-Darri milik Rio Tinto oleh kontraktor pada 12 Januari lalu.
Kenderaan membawa bungkusan itu dikatakan mengambil masa selama empat hari di jalan raya sebelum tiba di Perth pada 16 Januari. Bungkusan itu hanya dipunggah untuk pemeriksaan pada 25 Januari sebelum didapati ia sudah hilang.
“Apabila membuka bungkusan itu, didapati tolok sudah pecah dengan satu daripada empat bolt pelekap telah hilang termasuk isi dalam bungkusan itu sendiri. Skru pada tolok itu turut hilang,” kata Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan (DFES).
Mereka percaya gegaran yang kuat disebabkan oleh keadaan jalan telah merosakkan bungkusan itu. Bolt pelekap yang menahannya telah tercabut dari tempatnya.
Pakar telah memberi amaran bahawa Caesium-137 boleh menimbulkan masalah kesihatan yang serius bagi manusia yang bersentuhan dengannya. Kulit boleh melecur akibat daripada pendedahan kepada bahan tersebut.
Selain itu, mereka yang terdedah kepada bahan itu tanpa disedari untuk jangka masa yang lama boleh menderita dengan penyakit radiasi dan risiko kanser yang boleh membawa maut.
Perkhidmatan Radiasi WA, sebuah syarikat yang menyediakan nasihat perlindungan sinaran berkata, walau berdiri dalam jarak satu meter dari kapsul selama sejam, ia akan menghasilkan sekitar 1.6 millisieverts (mSv), sebanyak kira-kira 17 kali sinar-X dada yang standard.
Mengambil kapsul itu akan menyebabkan kerosakan yang serius pada jari anda dan tisu sekeliling, kata syarikat itu dalam satu kenyataannya.
Sumber: CNN Business