Lemah Tak Bermaya, Liverpool Dibaham Wolves 3-0
Serba tak menjadi atau tidak betuah, itulah gambaran situasi yang sedang dihadapi oleh Liverpool ketika ini. Selepas diaibkan Brighton minggu lepas, Jurgen Klopp sudah tentu mengharapkan keputusan positif malam ini ketika bertandang ke gelanggang Wolverhampton Wanderers.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Baru sahaja 12 minit perlawanan berjalan, pasukan yang pada musim lepas bersaing hingga ke perlawanan terakhir bagi merebut kejuaraan EPL sudahpun ketinggalan dua jaringan.
Seawal minit kelima, gawang Liverpool bolos hasil jaringan sendiri oleh pemain pertahanan Joel Matip. Ketika Liverpool meningkatkan intensiti perlawanan untuk mencari jaringan penyamaan, mereka sekali lagi dibolosi pada minit ke 12 menerusi jaringan Craig Dawson.
Di sebalik kekentalan barisan pertahanan Wolves bertahan, Liverpool dalam perlawanan ini juga sebenarnya berdepan dengan ketumpulan di jentera serangan.
Baik Mohamed Salah, Cordy Gakpo mahupun Darwin Nunez, tiada siapa diantara mereka dilihat benar-benar memberi ancaman kepada gawang gol tuan rumah. Namun kredit harus diberikan kepada Nunez kerana sekurang-kurangnya beliau ada dua percubaan tepat yang memaksa Jose Sa melakukan aksi penyelamatan.
Di separuh masa kedua, Liverpool ternyata menguasai perlawanan. Hantaran silang dari kiri dan kanan masuk ke kotak penalti lawan, namun semuanya hampa. Susah benar untuk singgah di kepala rakan sendiri, malah lebih mudah pula dipintas pertahanan Wolves.
Wolves pamer kualiti tersendiri
Wolves pula dalam pada itu, mempamerkan kualiti serangan balas yang begitu mengujakan. Kemahiran yang sama yang dahulunya diperagakan oleh Liverpool sendiri.
Ini dapat dibuktikan menerusi serangan balas pantas pada minit ke-71 sekaligus menghadiahkan gol ketiga kepada tuan rumah menerusi Ruben Neves.
Tamat perlawanan, Liverpool dibaham Wolves Si Serigala 3-0.
Kali terakhir Liverpool merasai nikmat kemenangan dalam saingan EPL pada 30 Disember lepas, ketika menundukkan Leicester City 2-1. Namun yang ajaib, atau aneh, tiada seorang pun pemain Liverpool menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut.
Kedengaran sedikit berlebihan, tetapi Liverpool dan peminatnya mungkin sudah boleh melupakan impian merebut empat posisi teratas bagi melayakkan diri ke saingan UCL musim depan.
Ataupun, mereka boleh cuba menjulang piala itu musim ini, tetapi kena atasi dahulu cabaran Real Madrid di Pusingan 16 pada 22 Februari. Jika berjaya, layaklah mereka bermain di pentas bola sepak teragung dunia peringkat kelab itu pada musim depan.
BACA: 10 Pekerjaan Berisiko Diganti Oleh OpenAI ChatGPT
Sumber: Google