Eh, Kenapa Dah Tak Pakai Skala Richter Ukur Gempa Bumi?
Skala Richter merupakan salah satu unit pengukuran gempa bumi paling terkenal di dunia. Namun begitu, unit tersebut dicipta hanya untuk digunakan dalam situasi yang terhad sahaja, menurut United States Geological Service (USGS).
Menurut ahli geofizik USGS, Lisa Wald, skala yang dicipta oleh Charles Richter pada 1935 itu bertujuan untuk menilai saiz relatif insiden gempa bumi yang kerap melanda California. Ia memang diciptakan khas untuk kegunaan kawasan itu sahaja.
Unit Skala Richter ini hanya mampu mengukur kejadian gempa bumi yang berlaku kira-kira 600 kilometer daripada pusat gempanya. Sedangkan hari ini, saintis yang berada di satu bahagian dunia sudah mampu mengesan kejadian gempa dunia yang berlaku di bahagian lain.
Justeru, ketika ini terdapat satu unit ukuran gempa bumi yang diterima pakai di seluruh dunia walaupun sebenarnya terdapat deretan ukuran lain yang boleh digunakan.
“Terdapat satu skala magnitud yang sering digunakan sehingga hari ini iaitu skala moment magnitude dan ia menjadi standard pengukuran yang sering dipakai oleh orang ramai sehingga ke hari ini,” kata Wald.
Skala Richter bermasalah, hanya ukur satu gelombang gempa
Selain, antara isu yang terdapat dalam penggunaan skala Richter adalah, ia diukur berdasarkan satu gelombang gempa sahaja. Jadi, ia tidak begitu membantu saintis ketika mengukur kejadian gempa bumi yang lebih besar, seperti gempa bermagnitud 9 yang melanda Jepun pada 2011. Ia juga menjadi salah satu jawapan kepada saintis sudah tidak pakai skala richter untuk ukur gempa bumi.
Manakala, skala moment magnitude pula dapat merekod pelbagai jenis gelombang seismik dari satu insiden gempa bumi. Ini dapat memberikan gambaran yang lebih terperinci mengenai saiz gegaran serta kerosakan yang bakal berlaku.
Wald berkata, unit pengukuran skala moment magnitude dapat menunjukkan saiz sesaran, jarak gelinciran dan geseran sesaran serta beberapa faktor lain.
Skala-skala lain turut diguna
Tambahnya, terdapat beberapa skala lain yang turut digunakan untuk menilai gelombang gempa bumi yang berbeza-beza. Antara skala utama yang sering digunakan iaitu S-waves (gelombang-gelombang permukaan) dan P-waves (gelombang-gelombang tekanan)
Sebagai contoh, beberapa insiden gempa bumi yang memiliki gelombang permukaan yang luas, ahli seismologi mungkin akan menggunakan magnitud gelombang permukaan untuk menilai jumlah tenaga yang dihasilkan.
Kebiasaannya, ahli seismologi akan membandingkan moment magnitude dengan beberapa skala lain untuk melihat sama ada bacaan tersebut boleh dipersetujui atau ditolak, kata Wald.

“Apa yang boleh saya katakan, skala moment magnitude adalah konsep yang sangat sukar difahami,” tambah Wald.
Secara umumnya, magnitud menerangkan saiz gempa bumi di pusatnya dari segi seberapa banyak tenaga yang dilepaskan.
Ujarnya lagi, ilmu berkenaan gempa bumi secara relatifnya masih muda, iaitu dengan koleksi data sekitar 100 tahun. Ia jauh berbeza dengan pengetahuan manusia dalam bidang-bidang lain seperti biologi dan perubatan. Justeru, ilmu-ilmu dalam dunia gempa bumi cenderung untuk berubah seiring dengan pengalaman yang ditempuhi manusia.
”Kebolehan kita semakin baik setiap hari. Jadi, kita boleh gabungkan lebih banyak data apabila teknik baru berjaya ditemui. Semua ini mungkin mengubah jawapan-jawapan yang kita ada tentang gempa bumi,” katanya lagi.
Ujar Wald, apa yang saintis tahu mengenai gempa bumi ketika ini tidak semestinya salah. Cuma ia adalah jawapan terbaik yang boleh diberi berdasarkan teknik dan teknologi semasa.
BACA: Getir, Suhu Sejuk Ancam Mangsa Gempa Bumi Turkiye
Sumber: Live Science