Siakap Keli
qatar derma kabin
Gambar: Kirill KUDRYAVTSEV / AFP

Qatar Derma 10,000 Kabin Piala Dunia Kepada Mangsa Gempa

Qatar Derma 10,000 Kabin Piala Dunia Kepada Mangsa Gempa 

DOHA — Kerajaan Qatar dilaporkan menderma 10,000 kabin dan karavan yang digunakan sewaktu Piala Dunia baru-baru ini bagi kegunaan mangsa gempa di Turkiye dan Syria semalam, lapor AFP.

Menurut pegawai Qatar, kabin bakal digunakan untuk menempatkan mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam bencana dahsyat itu.

“Memandangkan Turkiye dan Syria dalam keadaan terdesak, kami telah mengambil keputusan unuk menghantar kabin dan karavan ke sana. Ia bagi memberi sokongan segera yang diperlukan oleh rakyat kedua-dua negara itu,” katanya kepada AFP yang mahu namanya dirahsiakan.

Difahamkan, rumah mudah alih itu telah digunakan selama berminggu-minggu sewaktu kejohanan Piala Dunia yang bermula pada akhir tahun lalu.

Qatar derma kabin

Tambahnya, penghantaran pertama kabin itu bakal berlepas pada hari ini di pelabuhan Doha. Manakala penghantaran seterusnya dijangka dalam beberapa hari akan datang.

BACA JUGA: Gempa Bumi Turkiye, Syria: Bayi Tujuh Bulan Terperangkap 140 Jam Diselamatkan

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan jutaan orang berkemungkinan memerlukan bantuan selepas gempa bermagnitud 7.8 pada skala Ritcher yang berlaku pada awal pagi Isnin minggu lalu.

Gempa berkenaan telah membunuh sekurang-kurangnya 33,000 korban dan meranapkan seluruh kawasan kediaman di kedua-dua negara.

Emir negara Teluk, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani semalam menjadi pemimpin luar pertama yang melaksanakan perkara demikian sejak gempa yang berlaku seminggu lalu.

“Dalam lawatan ke negara Turkiye, kami berada di zon yang jauh dari kawasan terjejas.

“Kami mengadakan perbincangan bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengenai langkah meringankan beban bencana negara itu,” katanya dalam satu Tweet.

Sehingga kini, negara itu memerlukan tempat perlindungan selepas ribuan bangunan dilaporkan musnah dalam gempa bumi.

Untuk pengetahuan, Qatar merupakan salah satu negara yang menghantar pasukan penyelamat paling ramai di Turkiye. Dianggarkan sekitar 130 pasukan menjalankan misi di lapangan dengan lebih 100 tan bantuan dihantar.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kedua-dua negara itu telah menjalinkan hubungan yang semakin kukuh.

Tambahan lagi, Qatar juga bersetuju untuk memberi bantuan berjumlah bilion dolar terhadap ekonomi Turkiye sebelum ini. Hal ini kerana negara itu bergelut dalam pelaburan dan projek pembangunan infrastruktur.

Sumber: AFP via NDTV

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.