Siakap Keli
panggil goat pemain bola sepak
Gambar: EPA

Mufti Perjelas Hukum Panggil GOAT Kepada Pemain Bola Sepak

Mufti Perjelas Hukum Panggil GOAT Kepada Pemain Bola Sepak

Selepas berjaya meraih gelaran juara dalam Piala Dunia 2022, bintang pemain bola sepak Argentina, Lionel Messi diiktiraf sebagai Greatest Of All Time (GOAT) atau pemain terbaik sepanjang zaman.

Susulan itu, ramai yang mula memanggil Messi dengan gelaran itu kerana peranannya dalam pasukan membawa kepada kemenangan besar.

Tidak kurang juga, gelaran ‘GOAT’ sering digelarkan kepada pemain bintang yang cukup terkenal dari Portugal iaitu Cristiano Ronaldo.

Namun, sebagai seorang Muslim semestinya mempunyai tanda tanya mengenai gelaran itu. Kemungkinan terpancul kemusykilan dalam fikiran, adakah boleh untuk guna gelaran itu?

Adakah dibenarkan dalam Islam untuk menyanjung mana-mana individu sehingga memberikan gelaran sedemikian?

Bagi menjawab segala persoalan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah memberikan penjelasan hukum panggil GOAT kepada pemain bola sepak supaya perkara itu tidak mengelirukan mana-mana pihak.

Baca penjelasan penuh di bawah ini.

BACA: Gempa Bumi Turkiye: Lionel Messi Ajak Pengikut Instagramnya Bantu Mangsa Terutama Kanak-kanak

AL-KAFI #1919: Hukum Memanggil Greatest Of All Time (GOAT) Kepada Pemain Bola Sepak

Kredit: Pejabat Mufti WP

Soalan:

Assalamualaikum Datuk. Saya ingin bertanya, apakah hukum kita menggelarkan kepada pemain bola sepak dengan panggilan GOAT? Adakah ia termasuk dalam perkara yang dilarang dalam agama? Mohon pencerahan, terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Memanggil atau menggelar seseorang atlet atau pemain bola sepak dengan panggilan GOAT tidak membawa maksud menyamakan GOAT itu dengan tuhan sebaliknya ia hanyalah gelaran sanjungan sebagai jaguh dalam sesuatu sukan. Namun begitu, seorang muslim hendaklah berpada-pada dalam menyanjungi seseorang idola supaya tidak terjebak dengan budaya taasub terhadap sesuatu individu.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah dan syukur kepada Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di dalam dunia sukan, panggilan G.O.A.T dikenali sebagai Greatest Of All Times bukan perkara asing kerana ia membawa maksud terbaik sepanjang zaman. Gelaran ini sering kali diberi kepada ahli-ahli sukan yang tidak dapat dinafikan kecemerlangan melalui pencapaian mereka di dalam sesuatu sukan dan gelaran GOAT ini tidak hanya dikhususkan kepada bintang bola sepak. Sebaliknya atlet sukan lain turut dinobatkan gelaran ini oleh peminat mereka tersendiri seperti jaguh sukan tenis iaitu Roger Federer dan jaguh tinju iaitu Muhammad Ali.

Oleh yang demikian, tiada masalah penggunaan istilah atau gelaran GOAT kepada bintang sukan itu tidak membawa maksud  tuhan seperti perkataan ‘GOD’. Namun Begitu, dalam menyanjung serta mengagungkan tokoh-tokoh sukan, perlulah menjaga batasannya kerana terdapat sepotong hadis yang diriwayatkan

‌إِذَا ‌رَأَيْتُمُ ‌الْمَدَّاحِينَ، فَاحْثُوا فِي وُجُوهِهِمِ التُّرَابَ

Maksudnya: “Apabila kamu melihat orang memuji, maka taburlah debu di wajah mereka”

Riwayat Muslim (3002)

Hadis di atas menjelaskan bahawa pujian atau sanjungan merupakan satu perkara yang keji melainkan dalam situasi untuk memperkenalkan diri dengan berkata “saya seorang syeikh”. Sementara itu, Dalam riwayat yang lain pula dinyatakan juga tentang larangan memuji sepertimana dalam riwayat daripada Mutarrif yang berbunyi:

قَالَ أَبِي: انْطَلَقْتُ فِي وَفْدِ بَنِي عَامِرٍ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَقُلْنَا: أَنْتَ سَيِّدُنَا، فَقَالَ: «السَّيِّدُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى» قُلْنَا: وَأَفْضَلُنَا فَضْلًا وَأَعْظَمُنَا طَوْلًا، فَقَالَ: «قُولُوا بِقَوْلِكُمْ، أَوْ بَعْضِ قَوْلِكُمْ، وَلَا يَسْتَجْرِيَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ»

Maksudnya: “Ayahku (Abdullah bin al-Syikhir) berkata: Aku telah mengikuti rombongan Bani ‘Āmir menemui Rasulullah SAW. Lalu kami berkata: Engkau adalah sayyid (junjungan) kami. Lantas Baginda memotong: Sayyid (junjungan) yang sebenarnya adalah Allah SWT.  Maka kami berkata: Engkau adalah orang yang paling mulia dan agung dalam kalangan kami. Lalu Baginda bersabda: Ucapkan perkataan tersebut sahaja atau sebahagian daripada ungkapan kalian dan jangan sampai syaitan memerangkap kalian”.

Riwayat Abu Daud (4806)

Menurut Sheikh al-Sindi, pengajaran daripada hadis di atas ialah berkenaan larangan memuji supaya tidak dipergunakan oleh syaitan dalam memuji manusia melebihi batasnya. Oleh sebab itu, Imam al-Ghazali telah menyatakan hikmah disebalik larangan memuji secara berlebihan adalah mendatangkan kemudaratan kepada si pemuji dan orang yang dipuji. Menurut beliau lagi, pujian yang berlebih-lebihan boleh menyebabkan:

  • Si pemuji itu melampau-lampau dalam pujian sehingga boleh berakhir dengan pembohongan.
  • penzahiran sifat riyak dalam diri si pemuji.
  • pujian pada perkara yang tidak benar atau tidak diketahui keadaan sebenar orang yang dipuji.
  • pujian itu ditujukan kepada golongan yang zalim atau fasiq yang boleh membanggakan mereka melalui pujian tersebut.

Manakala bagi orang yang dipuji pula, pujian boleh menyebabkan seseorang berasa ‘ujub(bangga diri) dan takbur yang boleh membinasakan dirinya. Selain itu, pujian boleh menyebabkan seseorang itu merasa cukup dan berpuas hati terhadap apa yang dimiliki. Namun begitu, beliau turut menjelaskan jika sebarang bentuk pujian itu tidak mendatangkan kemudaratan baik kepada si pemuji atau orang yang dipuji maka ia dibenarkan oleh syarak.

Selain itu, Imam al-Nawawi RA turut menyatakan bahawa harus untuk memuji seseorang secara berdepan selagimana perbuatan memuji itu tidak menimbulkan persaan riyak dan mendatangkan fitnah kepada orang yang dipuji.

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa memuji seseorang adalah harus selagi mana pujian itu tidak melampaui batas. Namun jika sebaliknya, ia adalah haram serta dilarang kerana boleh menyebabkan seseorang itu terjebak dalam tipu daya syaitan.

Kesimpulan:

Memanggil atau menggelar seseorang atlit atau pemain bola sepak dengan panggilan GOAT tidak membawa maksud menyamakan GOAT itu dengan tuhan sebaliknya ia hanyalah gelaran yang disanjung sebagai jaguh dalam sesuatu sukan. Namun begitu, seorang muslim hnedaklah berpada-pada dalam menyanjungi seseorang idola supaya tidak terjebak dengan budaya taksub terhadap sesuatu individu.

Wallahu A’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

BACA: Harta Si Mati Tak Boleh Difaraidkan Sebelum Waris Tunaikan Badal Haji? Ini Penjelasan Mufti

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.