Siakap Keli
rakyat malaysia ditembak
Gambar: Sinar Harian

Rakyat Malaysia Ditembak Di Thailand Parah

Rakyat Malaysia Ditembak Di Thailand Parah

Seorang rakyat Malaysia dilaporkan parah ditembak sebanyak tiga kali dalam kejadian di di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Chantharothai, Bandar Betong, Wilayah Yala, selatan Thailand pada Sabtu lalu.

Berdasarkan laporan Sinar Harian, mangsa yang berusia 55 tahun dari Kampung Padang Tamat, Pengkalan Hulu itu dipercayai telah ditembak oleh seorang suspek yang tidak dikenali.

Kejadian tersebut didakwa berlaku sekitar jam 9 malam waktu Thailand.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, mangsa yang sedang dirawat di Hospital Betong mengalami kecederaan di bahagian perut dan paha.

“Ketika kejadian, mangsa yang sedang menunggang motosikal telah ditembak sebanyak tiga das oleh seorang penyerang yang tidak dikenali.

“Suspek yang menyerang dipercayai warganegara Thailand berjaya melarikan diri. Setakat ini suspek masih belum ditangkap,” katanya Isnin lalu.

Tambahnya, siasatan juga telah dijalankan oleh pihak berkuasa Thailand bagi mengesan suspek dan mengetahui motif serangan yang dilakukan tersebut.

Siasat lanjut sedang dijalankan

Selain itu, siasatan juga telah dijalankan dari pelbagai aspek sama ada ia berpunca daripada perbalahan peribadi atau berkaitan perniagaan.

“Mangsa telah lama keluar masuk ke Betong kerana dipercayai mempunyai seorang isteri warga Thailand.

“Mangsa yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah di negara ini pernah menjalankan perniagaan pusat hiburan di Bandar Betong,” kata Zulkepli Ibrahim lagi.

Menurutnya lagi, polis juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah tersebut.

BACA: Proteo, Anjing SAR Dari Mexico Terkorban Ketika Bertugas Cari Mangsa Gempa Bumi

Terdahulu Siakap Keli ada melaporkan berkenaan satu kejadian jenayah di Thailand. Kejadian di mana seorang pengawal keselamatan didakwa tikam majikan hingga mati kerana memaksanya bekerja lebih masa dan sering keluarkan kata-kata kesat padanya.

Suspek berusia 44 tahun itu telah ditahan oleh polis selepas didakwa menikam mangsa menggunakan sebilah pisau sepanjang 33cm ke atas mangsa yang berusia 56 tahun.

Suspek nekad melakukan perbuatan itu di tengah bandar raya Bangkok kerana sering dibuli oleh bosnya, dakwa suspek tersebut.

“Saya sudah lama marah dengan bos saya. Kadang-kadang saya tidak boleh tidur kerana terlalu tertekan memikirkan dia,” kata suspek kepada polis selepas menahannya.

“Dia membuli saya dan selalu bercakap kasar kepada saya. Walaupun saya sudah pulang kerja, kata-katanya masih terlintas dan bermain di kepala saya,” tambahnya lagi.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.