*Artikel ini dibawa oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan)
Apabila mengunjungi ke kedai makan ataupun restoran, sudah pasti terdapat pelbagai ragam pelanggan yang dapat dilihat. Antaranya ialah keadaan riuh rendah golongan anak-anak yang bermain atau aktif ke sana sini. Kadang-kadang, suara anak yang menangis atau menjerit dalam tempoh yang lama sebenarnya boleh mengganggu pelanggan lain untuk menikmati makanan.
Seperti kebiasaan, ‘ubat’ yang paling mudah untuk memastikan anak-anak senyap adalah memberikan telefon pintar kepada mereka. Nampak seperti masalah bising itu selesai, tapi ada akibat yang terpaksa ditanggung dalam jangka masa panjang.
Akibat atau implikasi buruk yang dimaksudkan adalah ketagihan kanak-kanak terhadap penggunaan gajet. Bukan itu sahaja, anak-anak boleh terpengaruh dengan konten-konten tidak baik di dalam talian jika dibiarkan secara berlebihan. Seperti yang pernah disuarakan oleh The Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF), pelbagai akibat yang berlaku sekiranya terlalu taksub dengan telefon bimbit seperti tidur tak cukup, hilang fokus, tertekan, sakit belakang dan beberapa lagi.
https://www.facebook.com/mycontentforum/posts/337719625063635
Disebabkan perkara-perkara ini turut boleh memberi kesan kepada anak-anak, penggunaan gajet perlulah dikurangkan termasuk di kedai makan. Antara langkah atau cara lain yang boleh dibuat untuk memastikan anak senyap adalah jangan bagi anak mudah bosan di tempat duduk. Apa tidaknya, bila bosan anak mesti akan meragam sehingga timbulkan bunyi bising. Sebaliknya, ibu bapa perlu mainkan peranan seperti bersembang dengannya, bawa mainan atau buku untuk hilangkan rasa bosan dan bawanya berjalan di sekitar restoran jika ada lanskap yang cantik.
Selain itu, ibu bapa juga boleh pesan pada anak secara baik agar tidak buat bising di restoran. Nasihatkan padanya agar menghormati pelanggan lain apabila tiba di kedai makan tersebut.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa ada anak yang tetap bertegas mahukan telefon pintar sebagai ‘pengubat’ meragam atau menangis tak henti-henti. Bukanlah tidak boleh bagi sepenuhnya, tapi, ibu bapa perlu bijak dalam menangani perkara ini. Tidak dapat dinafikan, gajet seperti telefon pintar juga dapat membantu proses pembelajaran anak-anak. Jadi, ibu bapa perlu menetapkan beberapa syarat atau langkah yang bijak.
Hadkan masa bermain
Sekiranya anak tetap menangis walaupun sudah dipujuk, anda mungkin boleh bagi telefon pintar kepadanya. Tapi, pastikan anda sudah berpesan mengenai peraturan yang dipersetujui bersama. Peraturan yang dimaksudkan adalah menghadkan masa bermain. Sebagai contoh hanya boleh main dalam tempoh setengah jam sahaja ataupun sehingga makanan sudah terhidang di atas meja.
Tetapkan ‘Parental Control’
Perkembangan teknologi dalam talian sebenarnya turut membantu ibu-bapa untuk mengawal anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menapis konten-konten yang dirasakan tidak sesuai untuk dinikmati oleh anak-anak. Bagi ciri ‘parental control’, ibu bapa boleh memilih atau sembunyikan mana-mana aplikasi yang dirasakan tidak sesuai untuk anak-anak.
Akses Kepada Konten Berfaedah Sahaja
Pada masa kini, sudah banyak aplikasi atau konten-konten yang berfaedah telah tersedia di dalam talian. Daripada bermain telefon tanpa faedah, apa salahnya kalau biarkan anak berhibur sambil belajar kan. Peranan ibu bapa adalah dengan memberikan akses hanya kepada aplikasi pendidikan, interaktif di dalam telefon yang diserahkan kepada anak.
Sertai Anak Sambil Mengajar
Bila ibu bapa sendiri menunjukkan minat terhadap sesuatu konten berfaedah dan aplikasi, pastinya anak-anak akan lebih bersemangat untuk menikmatinya. Seperti contoh anda memberikan aplikasi permainan kiraan, ibu bapa boleh memberi tunjuk ajar kepada anak bagaimana hendak mendapatkan penyelesaian.
Apabila kita berada di kedai makan atau restoran, kena faham bahawa pelanggan lain juga mempunyai hak untuk makan dengan lebih tenang. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia sudah pasti majoritinya bertolak ansur dan faham bahawa sudah menjadi kebiasaan budak-budak akan meragam. Cuma yang menjadi masalahnya ialah apabila ibu bapa tidak mengambil sebarang tindakan, malah hanya membiarkan saja anak-anak membuat bising.
Bagi gajet kepada anak-anak bukanlah sesuatu kesalahan, namun jika dibiarkan terlalu lama dan melampaui batas, ianya boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk. Perkara itu jugalah yang ditegaskan oleh CMCF agar anak-anak tidak mengalami ketagihan konten.
Sebenarnya CMCF sendiri banyak mengeluarkan garis panduan bagi konten yang sesuai terutamanya untuk anak-anak. Jika konten yang dilihat bersifat membangun, apa salahnya biarkan anak belajar dan secara tidak langsung akan berfikir secara kritis.
CMCF ini merupakan sebuah forum industri dan badan kawal selia kendiri bebas yang berada di bawah kawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Jika mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai badan ini, boleh layari laman Facebook rasmi mereka iaitu contentforum.
**Untuk pengetahuan semua juga, artikel dan perkongsian ini dibawakan oleh CMCF.