BAJET 2023: Kerajaan Belum Bercadang Perkenal GST
Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihaknya komited untuk menegakkan keadilan sosial.
Justeru katanya, pengagihan hasil pendapatan negara yang adil akan diberikan berdasarkan keperluan, bukannya layanan sama rata.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, Kumpulan T20 memegang 47 peratus atau hampir separuh jumlah pendapatan isi
rumah.
Dari sudut tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, golongan ini memiliki 80 peratus daripada keseluruhan jumlah simpanan KWSP.
Oleh itu, kerajaan mengambil kira hakikat bahawa pendapatan dan kekayaan negara ini lebih tertumpu kepada kumpulan atasan atau golongan elit.
Belanjawan 2023 kurangkan beban golongan kurang mampu
Menerusi Belanjawan 2023, pihaknya akan mengagihkan hasil negara dengan memberikan lebih tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah.
Antara ikhtiar yang telahpun diperkenalkan termasuklah:
- Agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih kepada rakyat yang memerlukan. 87 peratus ahli dengan
simpanan kurang 30 ribu ringgit telah diberi dividen 5.1 sen per unit. Manakala, simpanan melebihi 30 ribu ringgit menerima dividen 4.6 sen per unit. - Selain itu, tarif elektrik telah dikekalkan bagi semua pengguna domestik dan perniagaan PKS tetapi semua syarikat besar kecuali sektor makanan dan pertanian telah dinaikkan.
Kerajaan belum bercadang perkenal GST
Pada masa ini, kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti Goods and Services Tax (GST).
Katanya lagi, keadaan semasa kebanyakkan rakyat ketika ini masih tertekan dengan kenaikan inflasi makanan lebih 5 peratus dan kadar upah yang masih rendah.
Ia antara faktor yang dipertimbangkan oleh kerajaan untuk tidak melaksanakan cukai berkenaan buat masa ini.
Kerajaan turut mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang berkemampuan.
Kerajaan juga bercadang untuk memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah. Antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.
Selaras amalan terbaik antarabangsa, Kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah.
Bagi usaha itu, kerajaan akan mengadakan sesi perbincangan bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan tersebut.
BACA: (Video) Ikuti Siaran Langsung Pembentangan Bajet 2023
Sumber: Sesi Siaran Langsung Bernama