Rupa Sama Tapi Spesies Berlainan, Kenali Beza Tikus & Cencurut
Tidak dinafikan bahawa kehadiran ‘Cik Ti’ di rumah dirasakan seperti satu beban berat yang terpaksa ditanggung oleh penghuni rumah. Mana tidaknya, tikus bukan sahaja dilihat sebagai musuh utama di rumah malah ia juga membawa penyakit yang boleh memudaratkan kesihatan.
Disebabkan itu, ada orang mengambil jalan mudah dengan membela kucing untuk dijadikan haiwan pemangsa bagi menangkap tikus. Tidak dinafikan, kelibat tikus tidak akan dapat dilihat selepas itu.
Malah, kucing bukan satu-satunya haiwan yang anda boleh guna untuk halau tikus. Bagi penggemar haiwan eksotik, anda juga boleh menggunakan ular untuk menghalau tikus yang ada di rumah anda.
Namun dalam perkongsian ini, anda tidak akan didedahkan dengan cara untuk menghalau tikus atau sebagainya. Tetapi lebih kepada mengenali perbezaan antara tikus dengan cencurut.
Kenali beza tikus dengan cencurut, ikuti perkongsian ini
@khairunnaim4 Replying to @muhdhaziqw #fyp #naimpest #pestcontrol #tikus #cencurut
Pernah dengar apa itu cencurut? Cencurut merupakan sejenis haiwan yang mempunyai rupa yang hampir sama seperti tikus. Jika dilihat dari jauh anda pasti tidak dapat membezakannya.
Justeru perkongsian daripada @khairnnaum4 yang mendapat tontonan sebanyak 304,300 kali, 30,100 tanda suka dan 1,252 komen yang ditinggalkan (setakat artikel ditulis) akan meningkatkan kefahaman anda mengenai perbezaan kedua-dua haiwan ini.
Malah, Naim juga tidak menafikan bahawa haiwan ini sukar untuk dibezakan kerana mempunyai rupa dan warna yang seakan sama. Bagaimanapun, terdapat beberapa ciri yang mampu membezakannya.
Misalnya saiz badan, tikus dikatakan lebih besar daripada cencurut. Selain itu, daripada aspek rupa bentuk, cencurut dikatakan mempunyai muncung lebih panjang manakala tikus pula lebih tumpul.
Beralih kepada pergerakan, cencurut dipercayai bergerak dengan lebih laju daripada tikus disebabkan struktur badan yang berbeza yang dimiliki oleh kedua-dua haiwan ini.
Yang terakhir pula, daripada aspek bau iaitu badan cencurut dikatakan berbau hancing ekoran daripada satu kelenjar yang merembeskan bau tersebut yang dijadikan sebagai pelindung diri kerana ada sesetengah haiwan tidak menyukai bau tersebut.
Jadi sebagai aspek mudah untuk mengenal pasti sesuatu tempat didiami oleh cencurut adalah dari aspek bau.

Malah dalam perkongsian yang sama, Naim turut berkongsi bahawa perbezaan kedua-duanya bukan sahaja daripada aspek fizikal malah ia juga turut mempengaruhi makanan yang dimakan.
Misalnya, tikus lebih tertarik untuk memakan bijirin manakala cencurut lebih menyukai serangga seperti cengkerik, ulat atau cacing. Justeru perlu diingatkan bahawa anda perlu tahu terlebih dahulu sama ada haiwan perosak anda, tikus atau cencurut.
Hal ini kerana ia akan mempengaruhi perangkap yang anda pasang. Misalnya, anda taburkan racun tikus untuk menangkap cencurut, sudah pasti ia tidak berkesan kerana racun tikus banyak mengandungi bijirin.
Malah, Naim turut menegaskan bahawa tikus dan cencurut bukanlah satu spesies yang sama. Hal ini kerana tikus dikategorikan dalam spesies rodensia manakala cencurut tergolong dalam eulipotyphla.
Sumber: @khairunnaim4 | Tiktok