Ais Di Antartika Semakin Mencair, Menyusut Ke Paras Terendah
ANTARTIKA — Penyelidik Amerika Syarikat memaklumkan bahawa ais di kawasan Lautan Antartika semakin mencair dan berkemungkinan menyusut ke paras terendah pada minggu lalu, lapor AFP.
Difahamkan, pencairan ais itu berada pada tahap terendah dalam tempoh 45 tahun.
Pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan (NSIDC) di Universiti Colorado Boulder berkata glasier di Antartika berkurang kepada 1.79 juta kilometer persegi (691,000 juta batu persegi) pada 21 Februari lalu.
Rekod tersebut telah melebihi data terendah sebelum ini yang telah ditetapkan sebanyak 136,000 kilometer persegi (52,500 batu persegi) pada 2022.
Sementara itu, para saintis dari NSIDC menegaskan bahawa angka terbaharu itu merupakan bayangan pencairan ais lewat musim boleh berlaku.
Tambahan lagi, pencairan ais mendedahkan kawasan itu kepada ombak dan suhu yang lebih panas.
Pencairan ais itu tidak memberikan kesan yang ketara ke atas paras laut kerana ais sudah berada di dalam air laut.
Bagaimanapun, ia juga boleh mengundang kepada peningkatan paras air laut yang ekstrem sekiranya perkara itu masih berlaku akibat suhu global yang kian meningkat.
Salah seorang penyelidik kanan di Institut Koperasi untuk Penyelidikan dalam Sains Alam Sekitar (CIRES), Ted Scambos berkata kesan perubahan iklim yang berlaku di Antartika dan Artik adalah berbeza.
“Trend menurun menunjukkan isyarat bahawa pemanasan global boleh menjejaskan ais di sekitar Antartika. Namun, ia mengambil masa beberapa tahun lagi untuk mengesahkannya,” katanya.
BACA JUGA: (Video) Ais Mencair Semakin Pantas, 32 Saintis Dihantar Untuk Siasat ‘Glasier Kiamat’ Di Benua Antartika
Untuk makluman, Antartika mengalami pelbagai perubahan setiap tahun sewaktu musim panas dan musim sejuk. Bagaimanapun, benua itu tidak mengalami pencairan ais secara pesat dalam tempoh empat dekad seperti yang dialami oleh Greenland dan Artik akibat pemanasan global.
Pada 2016, kadar pencairan ais yang tinggi menimbulkan kebimbangan peningkatan air mungkin berlaku. Pencairan ais seperti yang diketahui adalah disebabkan pemanasan global.
Sementara pada tahun 2022 merupakan tahun kelima atau keenam terpanas direkodkan di peringkat global. Ia dipengaruhi oleh perubahan cuaca semula jadi La Nina.
Sebelum ini, dalam laporan Scientific American mendedahkan bahawa ais di Greenland mulai cair selepas kawasan itu mengalami suhu terpanas dalam tempoh 1,000 tahun.
Difahamkan, penemuan itu dikesan selepas terdapat bongkah ais yang mempunyai gelembung udara di dalamnya.
Sumber: AFP via Yahoo