Betul Ke Umur, Ketinggian & Bentuk Badan Boleh Ubah Berat Ideal Wanita?
Sebut sahaja pasal berat, pasti anda tidak mahu mendedahkannya lagi-lagi golongan wanita. Seakan tidak mahu terima hakikat bahawa berat telah naik dek makan tak ingat dunia.
Sudah menjadi kebiasaan perkara itu berlaku, namun tahukah anda berat ideal anda sebenarnya dipengaruhi oleh umur, ketinggian dan bentuk badan.
Dalam bahasa yang mudah, setiap orang mempunyai berat ideal yang berbeza, orang yang mempunyai berat 45 kg dengan tinggi 170 cm tidak sama dengan orang yang mempunyai berat 45 kg dan ketinggian 145 cm. Tidak sama ya, perlu difahamkan itu.
Jadi, apa yang anda perlu lakukan untuk mengetahui berat ideal anda? Mari, ikuti perkongsian Hello Doktor ini sebagai penunjuk arah untuk anda mengiranya.
Tidak dinafikan menjaga berat badan merupakan perkara penting demi menjaga kesihatan diri anda secara tidak langsung memastikan anda bebas dengan penyakit berat badan seperti obesiti.

“Berat badan aku 50 kilogram. Kau?” Eh, nanti dulu… Sebelum kita bertindak membanding-bandingkan berat badan masing-masing, tahukah anda bahawa berat ideal wanita berbeza mengikut umur?
Sebenarnya, semua orang mempunyai berat badan ideal yang berbeza-beza. Ada banyak faktor yang memainkan peranan dalam menentukan berat badan ideal seseorang misalnya usia, bentuk badan dan juga ketinggian.
Walaupun nampak remeh, namun penting untuk kaum Hawa tahu mengenai berat ideal mereka.
Manakan tidak, obesiti merupakan satu penyakit yang sedang meningkat naik di negara kita. Ia bukanlah masalah kosmetik semata-mata.
Sebelum kami jelaskan lebih lanjut mengenai berat ideal wanita mengikut umur, mari ketahui apakah maksud obesiti dan bagaimana ia mempengaruhi kesihatan kita.
Apa itu obesiti?
Kegemukan atau obesiti merupakan sejenis masalah perubatan yang dapat meningkatkan risiko kesihatan lain seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kanser.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, 50.1% orang Malaysia mempunyai berat badan berlebihan. Ini bermaksud, 1 daripada 2 orang Malaysia gemuk!
Malah, wanita juga lebih berisiko untuk mengalami obesiti berbanding kaum lelaki.
Benar, kita boleh kekal sihat walaupun mempunyai berat yang berbeza.
Walau bagaimanapun, risiko anda untuk menghidap penyakit kronik seperti diabetes jenis 2 dan penyakit jantung amat tinggi setelah anda memasuki kategori berat badan berlebihan atau obes.
Untuk menentukan berat ideal seseorang wanita, anda perlulah tahu berat dan tinggi anda. Malah, faktor lain seperti umur juga mungkin mempunyai kesannya yang tersendiri.

Berapakah berat ideal wanita?
Jadi, berapa berat ideal seseorang wanita? 45 kg? 50 kg? Atau 60 kg? Ingat ya, nombor yang terpampang pada penimbang tidak boleh menentukan sama ada anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
Malah, 2 orang individu yang mempunyai berat badan yang sama mungkin tergolong dalam kumpulan yang berbeza!
Sebab itulah, wujudnya cara pengiraan yang lebih komprehensif iaitu indeks jisim tubuh (BMI).
BMI akan mengambil kira ketinggian dan berat anda. Ia akan mengkategorikan anda kepada 4 kumpulan yang berbeza iaitu kurang berat badan, berat badan normal, berat badan berlebihan dan obes.
Anda boleh cuba kira berat ideal wanita menggunakan kalkulator kami di bawah: