Ramai Tak Tahu, Ini Cara Pemakaian ‘Glove‘ Yang Betul Patut Dilakukan Peniaga
Sekiranya, anda merupakan seorang peniaga kedai makan, sudah pasti tahu bahawa kebersihan kedai perlu dijaga bagi menjamin sajian dan masakan yang dihidang adalah bersih daripada segala kotoran.
Oleh sebab itu, ramai peniaga yang bertindak untuk memakai sarung tangan kerana tidak mahu kuman di tangan melekat pada makanan.
Penting untuk peniaga tahu mengenai kebersihan dalam menyediakan makanan lebih lagi kerana makanan memainkan peranan penting dalam badan manusia.
Namun, sebenarnya apa cara penggunaan yang betul tentang pemakaian sarung tangan ini?
Konsep menyediakan makanan
Bagi mengetahui lebih lanjut, individu bernama @abgiknaktegur membuat perkongsian lanjut, menerangkan mengenai konsep kebersihan semasa menyediakan makanan di laman TikTok.
Menurutnya, dengan pemakaian sarung tangan, ia tidak memberi jaminan bahawa makanan yang dikendalikan adalah bersih.
Ini kerana peniaga yang mengendalikan makanan sering melakukan banyak tugasan dalam satu masa, oleh itu konsep kebersihan tidak dijaga dengan baik.
Sebagai peniaga yang beretika, adalah penting untuk kerap membasuh tangan supaya sajian dapat dihindari daripada kuman.
“Kalau awak pergi kelas latihan makanan, pengendali makanan akan disuruh kerap cuci tangan.
“Glove itu adalah alternatif. Tetapi pakai glove bukan membolehkan pekerja untuk membuat semua perkara,” katanya.
Difahamkan, sekiranya mahu menukar kepada stesen makanan yang lain, pengendali makanan hendaklah menukar kepada sarung tangan yang baru.
BACA: Timbang Paket Sebelum Isi Barangan, Sifat Jujur Peniaga Dipuji Ramai
Pemakaian glove harus ditukar dengan kerap
Individu terbabit turut menegaskan bahawa pemakaian sarung tangan tidak boleh secara berpanjangan dan dilakukan dalam kerja yang banyak.
Katanya, pemakaian sarung tangan bukan untuk dipakai seharian dan ditukar apabila sudah koyak, ia perlu ditukar secara kerap.
Kaedah ini perlu dilakukan bagi menghasilkan hidangan yang bebas daripada sebarang kotoran terutama sekali kuman yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Peniaga perlulah memakai sarung tangan pada kadar yang sekejap dan menggunakan hanya untuk melakukan satu tugasan sahaja.
Ujarnya, konsep sebenar yang peniaga perlu amalkan adalah mencuci tangan dengan kerap dan bukannya memakai sarung tangan seharian.
Jika kedai makan itu bersih, bukan sahaja memuaskan hati peniaga, malah pelanggan juga akan menjadi suka untuk singgah ke kedai tersebut.
Sumber: @abgiknaktegur via Tiktok