Dua Sungai Di Negeri Sembilan Di Tahap Bahaya
Kuala Lumpur– Sebanyak dua buah sungai di Negeri Sembilan merekodkan tahap ‘bahaya’ setakat jam 12:45 tengah hari tadi.
Memetik portal rasmi Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) , Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol mencatatkan bacaan air setinggi 36.07 meter.
Sementara itu, di Sungai Gemas di Kampung Tiong, Tampin pula mencatatkan bacaan air setinggi 23.61 meter.
Bagi sungai yang berada pada tahap jingga (Amaran), Sungai Serting di Kampung Datok Johan (2) di Jempol merekodkan ketinggian air dengan bacaan 74.48 meter.
Manakala di Sungai Serting di Kampung Datok Johan (1) daerah Jempoh pula adalah setinggi 74.44 meter.
Manakala, bagi sungai yang berada pada tahap kuning ‘Alert’ pula dicatatkan oleh sungai Triang di Kampung Juntai (1) dan Kampung Juntai (2), daerah Jelebu, masing-masing dengan bacaan 67.99 meter serta 68 meter.
Baca juga: 18 Sungai Lepasi Paras Bahaya Di Johor
Sementara bagi Negeri Johor, ketinggian air telah mencatatkan penurunan di beberapa kawasan sungai apabila semalam (setakat 8:45 malam) mencatatkan sebanyak 18 buah sungai berada pada tahap bahaya.
Bagaimanapun sehingga 10:15 pagi, negeri Johor hanya merekodkan sebanyak 15 buah sungai yang berada di tahap bahaya.
Selain 15 sungai berada pada tahap merah (Bahaya), sebanyak lima sungai mencatatkan pada warna jingga (Amaran) serta tujuh yang lain berada di tahap kuning (Alert).
Terdahulu, hujan berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan banjir di beberapa negeri.

Memetik Bernama, sebanyak 27,2467 mangsa banjir telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri terkesan banjir iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka setakat pagi tadi.
Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata keseluruhan mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 704 mangsa daripada 197 keluarga di 10 PPS setakat 4:00 pagi tadi.
Beliau berkata ia melibatkan lima PPS di Tampin.
Sementara di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir melonjak dua kali ganda kepada 25,213 orang pagi tadi berbanding 9,162 pada jam 8:00 malam tadi.
“Segamat daerah paling teruk terjejas dengan 2,050 keluarga dipindahkan ke 55 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), diikuti Kluang dengan seramai 1,559 keluarga di 39 PPs; Kota Tinggi seramai 769 keluarga di 18 PPS;
“Johor Bahru pula melibatkan 607 keluarga di 12 PPS dan Pontian dengan 58 keluarga di lima PPS,” menurut JPBN dalam suatu kenyataan, hari ini.
Sumber: Public Info Banjir