Masuk Ikut Sungai Golok, Sindiket Seludup Manusia Di Kelantan Tumpas
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilapor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan manusia dalam satu Operasi Khas “Ops Gelombang 2” di beberapa lokasi di Kelantan, pada Isnin lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Sri Khairul Dzaimee berkata, operasi yang bermula 3.15 pagi itu adalah rentetan operasi terdahulu yang pernah dijalankan pada Oktober tahun lalu.
“Dalam serbuan di kawasan sekitar Jeli dan Gua Musang, pasukan operasi telah berjaya menahan seramai tiga orang lelaki warganegara Malaysia berumur antara 39 hingga 60 tahun yang bertindak sebagai`Transporter’ bagi sindiket ini.
“Turut ditangkap ialah seramai 15 orang PATI berumur antara 24 hingga 54 tahun yang terdiri daripada 12 orang lelaki dan tiga orang perempuan warganegara Indonesia.
“Mereka dipercayai baru tiba dari negara jiran melintasi Sungai Golok dan kemudian dipindahkan dengan tiga buah kenderaan ke rumah penampungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Risikan selama dua minggu dilakukan
Tambah Khairul Dzaimee, modus operandi mereka adalah masuk melalui laluan udara ke Thailand dari Indonesia sebelum menyeludup melintasi sempadan Malaysia-Thailand melalui Sungai Golok.
Difahamkan, setiap PATI yang diseludup dikenakan bayaran antara RM6,000 ke RM7,000 seorang oleh dalang sindiket berkenaan.
“Siasatan awal mendapati ‘transporter’ tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan menaiki kenderaan yang ditetapkan.
“Kesemua PATI ini kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah.
“Bagi PATI wanita pula, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks,” tambah Khairul Dzaimee.
Difahamkan semasa serbuan dilakukan, terdapat ‘transporter’ dan PATI cuba melarikan diri dengan bertindak secara agresif dan memberi ancaman fizikal.
Namun tindakan mereka berjaya dipatahkan oleh pegawai operasi.

Sindiket aktif sejak Mei 2022
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee menambah, sindiket itu disahkan aktif sejak Mei tahun lalu yang menyasarkan PATI dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India.
Difahamkan PATI yang disasarkan itu adalah kalangan mereka yang dilapor cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.
“Berdasarkan anggaran seramai 160 PATI sebulan yang dibawa masuk oleh sindiket ini, kerajaan dianggarkan telah mengalami kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing,” tambahnya.
Kesemua PATI ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Dalam masa sama, tiga lelaki tempatan terbabit pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Manakala tiga kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM100,000 pula akan disita untuk tindakan lanjut.

BACA JUGA: Imigresen Tahan Datuk & Datin, Jadi Ejen ‘Maid’ Haram
Sumber: Kenyataan media Jabatan Imigresen Malaysia