SHAH ALAM, 13 MAC 2023 – Kumpulan Perangsang Selangor memperuntukkan sejumlah RM215,000 atas dasar inisiatif membantu masyarakat B40 di sekitar Selangor dengan menyediakan perniagaan penternakan ayam kampung bersama MyFundAction.
Sustainable Community Poultry Project (SCoPP) di bawah kelolaan MyFundAction itu akan membuka ruang dan peluang kepada 20 orang B40 setiap tahun untuk menternak 200 ekor ayam untuk permulaan kitaran dan 300 serta 500 ekor ayam pada kitaran kedua dan ketiga.
Selain dibekalkan 200 ekor anak ayam, penternak juga dibekalkan dengan kelas-kelas khas seperti penjagaan reban, pemasaran, pengurusan operasi, kewangan dan lain-lain bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang penternakan ayam kampung.
Hasil dari projek ini, mereka akan dapat membekalkan ayam kampung kepada peraih dan secara tidak langsung akan dapat mengeluarkan diri mereka daripada garis kemiskinan kebangsaan dengan memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM3500 sebulan.
Hariz Danial Safruddin, Pengurus Projek SCoPP menyatakan bahawa para penerima manfaat akan dipantau melalui program bimbingan dengan rapi dalam masa sekurang-kurangnya enam bulan bagi mengelakkan permasalahan yang berlaku sepanjang menjalani projek SCoPP.
Para penerima manfaat dipilih berdasarkan beberapa kriteria bagi menjamin kelangsungan projek. Antara kriteria tersebut adalah penerima manfaat perlulah merupakan ketua keluarga yang mempunyai akses kepada pemilikan tanah untuk dibina reban ayam, mempunyai keinginan yang tinggi serta pengetahuan yang luas berkenaan penternakan ayam selain penerima manfaat juga perlulah dalam lingkungan 50 tahun dengan pendapatan maksimum RM3000 sebulan.
Mereka perlu bersedia untuk komited sekurang-kurangnya selama dua tahun dengan menghasilkan enam ke tujuh kitaran penternakan.
MyFundAction amat mengalu-alukan sokongan dan kesudian mana-mana syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu perseorangan sekiranya ingin berkolaborasi dan bekerjasama bagi menghulurkan tangan membantu masyarakat yang terjejas.