Siakap Keli
kanabis dalam perubatan
Kredit: BERNAMA

Penggunaan Kanabis Dalam Perubatan Perlu Kajian Mendalam – PM

Penggunaan Kanabis Dalam Perubatan Perlu Kajian Mendalam – PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Isu berkaitan kebenaran penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan dalam negara memerlukan penelitian dan perbincangan yang menyeluruh serta mendalam termasuk daripada aspek kawalan penggunaan bahan berkenaan kelak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia mengambil kira jumlah penagih dalam kalangan anak muda termasuk di luar bandar yang semakin meningkat sehingga mencecah ratusan ribu setakat ini.

“Sabar, kita harus teliti betul-betul, kena ingat sebaik sahaja kita halalkan (kanabis) dengan hujah kuat seperti perubatan dan keperluan, itu nak kawal susah… Saya tidak kata saya ada pandangan keras dalam bidang ini, saya sudah cadang supaya kita buka ruang dan bincang betul-betul implikasinya.

“Bagi orang yang nak cadangkan atau menolak, mari kita lihat secara keseluruhan dulu implikasi dan kemudian ambil keputusan sama ada nak halalkan sebahagian atau terus dengan keadaan sekarang,” katanya ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program dialog anak muda ‘Temu Anwar’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut memberi gambaran berkaitan permasalahan serius yang sukar ditangani berhubung isu penyalahgunaan dadah dalam keadaan sekarang.

Kerajaan nanti syor KKM berhubung penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan – Anwar

Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan masih belum memutuskan sama ada akan membenarkan dari segi undang-undang, penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan dalam negara.

Beliau berkata kerajaan masih menunggu cadangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Setakat ini kita belum melihat perkara ini secara serius, kita tunggu cadangan nanti. Isu ini turut melibatkan aspek keselamatan,” katanya kepada pemberita di hari terakhir lawatan rasmi dua harinya ke Thailand hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas persoalanan sama ada kerajaan akan meneruskan atau menghentikan penyelidikan berhubung penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Ogos lepas Menteri Kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin dalam lawatan kerja di Thailand, turut meninjau potensi penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan, di samping melihat kerangka undang-undang yang berkaitan dengannya.

Khairy dilaporkan berkata kerajaan kemudiannya akan mengkaji pengalaman Thailand dalam perkara itu untuk disesuaikan dengan konteks di Malaysia, sebelum memutuskan sama ada akan membenarkan atau tidak penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Sumber: BERNAMA

BACA: Bincang Dengan KKM Nilai Perubatan Kanabis, Ketum – Fadillah

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana