Siakap Keli
naib presiden umno
Kredit: BERNAMA

Wan Rosdy, Johari & Mohamed Khaled Menang Jawatan Naib Presiden UMNO

Wan Rosdy, Johari & Mohamed Khaled Menang Jawatan Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memenangi jawatan Naib Presiden UMNO bagi sesi 2023-2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Tan Sri Syahrir Abdul Samad, yang mengesahkan perkara itu, berkata Wan Rosdy memperoleh undi tertinggi iaitu 126 diikuti Mohamed Khaled (115) dan Johari (109).

Ketiga-ketiga veteran UMNO itu mengalahkan lima calon lain iaitu Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said yang mendapat 72 undi, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (48 undi), Datuk Ir Hasni Mohammad (42 undi), bekas Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid (40 undi) dan Dr Mohd Yusof Musa (0 undi).

Beliau berkata sebanyak 187 bahagian terlibat dalam pemilihan di peringkat pusat parti itu dan turut menyaksikan jawatan Pengerusi Tetap kekal disandang oleh Tan Sri Badruddin Amiruldin selepas menang besar dengan 176 undi mengalahkan pesaingnya, Datuk Syamsul Najmi Shamsudin, yang hanya meraih sembilan undi.

“Jawatan Timbalan Pengerusi pula akan disandang oleh Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn di sini hari ini.

BACA: Pemilihan UMNO: Tengku Razaleigh Pertahan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Sejak 1962

Sementara itu, nama-nama yang hampir pasti memenangi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ialah Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (174 undi), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (171 undi), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (165 undi), Datuk Seri Ahmad Maslan (163 undi) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (156 undi).

Antara nama lain ialah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (148 undi), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (147 undi), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (127 undi), Datuk Azian Osman (123 undi) dan Datuk Seri Dr Md Alwi Che Ahmad (115 undi).

Syahrir berkata pemilihan kali ini turut menyaksikan 54 muka baharu menjadi Ketua Bahagian sekali gus membuktikan dinamika politik di dalam UMNO bagi mendepani cabaran mendatang.

Beliau juga memaklumkan pihak JPU turut menerima satu bantahan hari ini namun tidak memperincikan perkara itu.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana