Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang terjejas di negeri Johor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), agensi dan anak syarikatnya serta Jabatan Hal Ehwal Selangor (JHEIS) tampil bersama menyumbang sebanyak RM141,359.00 bagi menyantuni mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir buruk yang berlaku di negeri Johor baru-baru ini.
Sumbangan bertujuan sebagai tanda solidariti di antara Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) bagi menyantuni mangsa yang terkesan akibat banjir di samping memenuhi maslahah ummah terutama dalam membantu berkaitan keperluan mangsa bagi meringankan bebanan mereka.
Daripada jumlah RM141,359.00 itu, MAIS menyumbang sebanyak RM50,000.00. Manakala agensi dan anak syarikat MAIS iaitu Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) juga menyumbang sebanyak RM50,000,00 dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) sebanyak RM5,000.00.
Sumbangan dari JHEIS pula adalah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Sumbangan Tabung Infak Jariah Umat Islam (TIJARI) dan Masjid Pengurusan Negeri Selangor sebanyak RM35,359.00 dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) sebanyak RM1,000.00.
Daripada jumlah sumbangan RM141,359.00 itu sebanyak RM91,359.00 diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dalam bentuk tunai dan selebihnya iaitu RM50,000.00 dalam bentuk 500 kotak makanan asas. Sumbangan diserahkan terus kepada MAINJ di Pejabat Daerah Batu Pahat, Bangunan Tunku Mahkota Ibrahim Ismail, Jalan Bakau Chondong, Batu Pahat Johor bagi diagihkan kepada mangsa banjir di sana.
Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi MAIS menyempurnakan majlis pelepasan konvoi kumpulan MAIS bersama agensi dan anak syarikat MAIS serta JHEIS ke negeri Johor bagi menyerahkan sumbangan ini.
Konvoi kali ini diketuai oleh Y.Bhg. Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS dan turut disertai En. Mohd Hasnul Redza Abd Rahim, Pengurus Besar TERAS; En. Md Arifin Jaafar, Pengurus Operasi YIDE dan En. Amer Azri Redzuan,TIJARI dengan jumlah keseluruhan peserta konvoi seramai 29 orang terdiri daripada MAIS, PWS, Lembaga Zakat Selangor, YIDE, Bakti Suci Holding dan JAIS.
Terdahulu, MAIS, agensi dan anak syarikat MAIS telah menyumbang sebanyak RM200,000.00 bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu pada 8 Januari 2023 yang lalu.