Siakap Keli
tol kad debit kredit
Kredit: BERNAMA

Kad Debit, Kredit Boleh Diguna Di Lima Lebuh Raya Tahun Ini

Kad Debit, Kredit Boleh Diguna Di Lima Lebuh Raya Tahun Ini

Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan sistem pembayaran tol di beberapa lebuh raya utama kini boleh dibayar menggunakan kad debit dan kredit menjelang September ini, lapor Awani.

Dalam satu hantaran Facebook, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan sistem pembayaran terbuka (open payment system) merupakan inisiatif awal yang dilakukan oleh pihaknya.

Daya usaha itu juga adalah peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang sedang giat diusahakan.

“Melalui pelaksanaan MLFF, open payment system akan dilaksanakan bagi kutipan tol bagi kesemua lebuh raya di Malaysia.

“Dan akan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan e-Wallet untuk turut serta dan tiada lagi monopoli oleh pihak Touch ‘n Go.

“Dengan itu, persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol sekali gus memberikan kemudahan kepada mereka,” jelasnya pada Selasa.

Lebuhraya berkenaan adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, MLFF akan dijalankan sebelum penghujung Oktober bagi menilai sistem tersebut sebelum dilaksanakan kesemua lebuh raya.

“Lokasi Proof of Concept (POC) ini sedang dalam rundingan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Pelaksanaan sepenuhnya MLFF ini akan dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” tambahnya.

Alexander berkata beliau mengambil maklum mengenai isu monopoli Touch ‘n Go yang diutarakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Tegasnya, usaha untuk mengatasi isu tersebut telah dimulakan sejak tahun lalu dan ia menjadi fokus utama dalam kementeriannya.

Difahamkan juga, perancangan serta perbincangan bersama pihak-pihak terlibat serta syarikat konsesi lebuhraya mengenai perkara itu telah diadakan pada awal tahun ini.

Sistem pembayaran terbuka dalam pengangkutan awam selain TnG sedang diusahakan

Sebelum ini, media melaporkan sistem pembayaran terbuka selain daripada penggunaan Touch ‘n Go, akan dilaksanakan dalam masa beberapa bulan lagi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia akan membolehkan pengguna menggunakan kad kredit atau debit sebagai pembayaran untuk menggunakan pengangkutan awam selain kad Touch ‘n Go.

Sumber: Awani

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana